Berita Hari Ini

Polis: Kesesakan lalu lintas mendadak, elak keluar waktu puncak

Kesesakan lalu lintas mendadak di sesetengah kawasan sekatan jalan raya dalam tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) disebabkan orang ramai keluar secara serentak pada waktu puncak awal pagi dan lewat petang.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Azisman Alias menasihatkan orang ramai,selain petugas barisan hadapan dan pekerja sektor perkhidmatan asas, supaya tidak keluar ketika waktu puncak.

“Dalam 3-4 hari ini apabila kerajaan mengumumkan beberapa sektor boleh beroperasi, berdasarkan analisis kami, beberapa kawasan mengalami kesesakan pada awal pagi antara jam 7 ke 9 pagi dan 5 petang hingga 9 malam di sekatan( jalan raya) kita disebabkan kereta keluar serentak, termasuk mereka yang ingkar PKP.

“Jadi saya nasihat, kepada kenderaan perdagangan kalau boleh tidak bergerak pada waktu puncak pagi dan petang. Cuba bergerak waktu malam.

“Bagi mereka yang ingin keluar beli makanan atau barang asas, kalau boleh jangan keluar waktu puncak. Keluar selepas itu bagi mengurangkan kesesakan jalan.

“(Pada) waktu puncak, kita beri laluan kepada mereka yang bertugas di barisan hadapan dan pekerja sektor keperluan asas dahulu. Kita minta kerjasama semua pengguna jalan raya supaya mengatur perjalanan dengan baik,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Azisman berkata, polis terpaksa menjalankan pemeriksaan teliti terhadap pengguna jalan raya bagi memastikan mereka mematuhi PKP.

Katanya, pemeriksaan polis di sekatan jalan raya adalah bagi memastikan orang ramai tidak mengambil peluang bergerak sesuka hati tanpa sebab munasabah.

“Kita juga sedia maklum pemeriksaan teliti di sekatan jalan raya juga antara penyebab kepada pergerakan kenderaan yang perlahan, namun pemantauan mendapati kesesakan itu tidak melebihi satu kilometer,” katanya pada sidang akhbar berhubung trend aliran trafik sepanjang PKP di Bukit Aman hari ini.

Azisman berkata, pihaknya juga meletakkan papan tanda makluman kira-kira 500 meter sebelum sekatan jalan raya, namun ia bergantung kepada lokasi supaya tiada kejadian diingini berlaku, termasuk kemalangan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");