BAGAN SERAI- Sebuah keluarga menceritakan saat tiga minit detik cemas apabila bumbung rumah mereka terbang akibat ribut dan merosakkan kediamannya, semalam.
Menurut Hasnan Darmawan, 66, dari Kampung Parit Ismail 3, selepas selesai laung azan tiga kali, terus bumbung utama hilang diterbangkan ribut.
Katanya, dalam kejadian sekitar jam 3.30 petang tersebut, dia bersama isteri dan dua anak berteduh dibahagian dapur berikutan ketakutan apabila melihat bumbung utama rumah diangkat angin beberapa kali.
“Hampir tiga minit kami menyaksikan bumbung utama rumah terangkat-angkat akibat angin kuat dan sebaik selesai melaungkan azan, tiba-tiba keseluruhan bumbung utama hilang diterbangkan ribut.
“Tidak ada apa yang kami mampu lakukan dan hanya berputih mata melihat bumbung diterbangkan ribut, “katanya ditemui media selepas menerima kunjungan dan sumbangan awal dari Pegawai Peribadi Ahli Parlimen Bagan Serai, Kamaruzaman Arshad.
Kata Hasnan, ini merupakan kejadian kedua dalam tempoh lima bulan dimana pada bulan Disember tahun lalu kediamannya turut musnah ditimpa pokok pelam dalam kejadian ribut.
“Ibarat jatuh ditimpa tangga, dalam tempoh dua bulan sahaja kediaman saya musnah akibat kejadian ribut.
“Kejadian ini merupakan ujian dan dugaan berat untuk kami sekeluarga dalam menghadapi persediaan menyambut ramadan esok,”katanya.
Dalam pada itu Sekratariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kerian, Noor Hafizah @ Noor Ulin Ismail dalam satu kenyataan berkata dalam kejadian semalam, sebanyak 105 keluarga membabitkan 54 buah rumah dari Parlimen Parit Buntar dan Bagan Serai, terjejas.
Bagaimanapun katanya, sehingga kini tiada sebarang pusat perpindahan dibuka.
Terdahulu media melaporkan, sebanyak 58 rumah di Bagan Serai dan Parit Buntar mengalami kerosakan akibat ribut sehingga jam 9.00 malam semalam.
Daripada jumlah tersebut, Bagan Serai mencatat kerosakan tertinggi iaitu 38 rumah, Selinsing 11, Beriah enam dan Parit Buntar tiga.