Berita Hari Ini

RM700,000 Ditemui Dalam Kereta Buruk

KOTA TINGGI: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas wang tunai berjumlah RM700,000 yang disorokkan dalam sebuah kereta buruk ketika serbuan terhadap sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang, berkata dalam serbuan jam 2 pagi itu diketuai dua pegawai bersama 10 anggota Op Covid Shield Batalion 5 PGA di KTJ Sungai Tiram, turut menahan lapan lelaki berumur 27 hingga 48 tahun.

Beliau berkata, pasukan serbuan itu turut merampas senjata berjadual serta dadah.

“Hasil pemeriksaan terhadap semua lelaki yang ditahan itu serta kenderaan digunakan, menemui pelbagai senjata berjadual terdiri daripada selaras air soft jenama Sharp Innova, dua bilah pedang samurai, sebilah kerambit, sebilah pisau bertombak, 86 biji pil Eramin 5 serta wang tunai berjumlah RM700,000.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan adalah sebanyak RM853,990. Wang tunai itu dijumpai disorok dalam kereta buruk di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan, lapor BH Online.

Dimin berkata, semua suspek dan rampasan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958; Seksyen 36 Akta Senjata 1960, Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 Dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit 2020.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");