Berita Hari Ini

Rohingya miliki kad UNHCR tak berhak buat tuntutan, kata menteri

Pelarian Rohingya – termasuk yang memegang kad UNHCR – tidak berhak membuat sebarang tuntutan kepada kerajaan Malaysia kerana mereka tidak memiliki asas untuknya, kata Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin.

Katanya kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf status pelarian dan mengklasifikasikan mereka sebagai pendatang tanpa izin (Pati) yang memegang kad UNHCR.

Menurut beliau sebarang tindakan pemegang kad UNHCR yang mengganggu gugat ketenteraman awam dan bertentangan dengan undang-undang negara tidak akan terlepas daripada tindakan.

“Dalam hal ini, KDN menegaskan bahawa Malaysia bukan negara pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967 sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Namun begitu, kata Hamzah, kerajaan membenarkan Pati yang memiliki kad UNHCR untuk tinggal sementara di negara ini sebelum dihantar ke negara ketika.

Katanya pendirian itu diambil atas dasar kemanusiaan.

Hamzah juga berkata, semakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga mendapati tidak pernah ada mana-mana pertubuhan didaftarkan atas nama Rohingya atau etnik Rohingya di negara ini.

“Justeru, mana-mana pertubuhan yang mewakili etnik Rohingya di Malaysia adalah tidak sah di bawah Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335] dan boleh diambil tindakan mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Selari dengan dasar kerajaan

Menurut Hamzah sehingga Mac lalu ada 179,521 pemegang kad UNHCR yang tinggal secara sementara di Malaysia. Daripada jumlah tersebut, katanya, 56.6 peratus atau 101,584 orang adalah daripada etnik Rohingya.

Isu Rohingya menjadi perhatian ramai akhir-akhir ini ekoran langkah kerajaan melarang sebuah bot membawa etnik berkenaan memasuki negara ini.

Pengkritik menganggap Malaysia tidak wajar membiarkan mereka kembali ke laut sebaliknya memberikan perlindungan sementara sebelum dihantar ke negara ketiga.

Mengenai bot berkenaan, Hamzah berkata tindakan pihak berkuasa menghalang bot terbabit selaras dengan undang-undang bagi menjaga kedaulatan sempadan negara daripada diceroboh.

“Bagaimanapun, atas dasar kemanusiaan pihak berkuasa Malaysia mengagihkan bekalan makanan sebelum mengiringi bot tersebut keluar dari kawasan perairan negara.

“Tindakan memperketatkan sempadan termasuk lorong-lorong tikus bagi menghalang pencerobohan Pati selari dengan langkah kerajaan menutup pintu masuk negara kepada warga asing bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");