PETALING JAYA: Beberapa persatuan perniagaan mendakwa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) menyaksikan peningkatan besar aktiviti penyeludupan rokok ke negara ini.
Bercakap kepada FMT, jurucakap 2 persatuan itu berkata, pelanggan mereka, yang gagal membeli rokok bercukai, beralih kepada rokok di pasaran gelap.
Presiden Persatuan Kedai Kopi Malaysia dan Singapura Ho Su Mong berkata, kumpulannya memaklumkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara bahawa lebih 20,000 ahli persatuan itu telah kehabisan bekalan rokok untuk dijual.
Beliau berkata, perokok memberitahunya bahawa mereka kini membeli rokok seludup yang mudah diperolehi.
Ahli persatuan itu kehilangan 30% perniagaan mereka kepada peniaga haram, katanya.
Ketua Persekutuan Persatuan Peniaga Kedai Runcit Malaysia Hong Chee Meng berkata, beliau juga bercakap dengan perokok yang memberitahu mereka membeli rokok seludup pada harga RM5 hingga RM7 untuk pek 20 batang.
Rokok tidak termasuk dalam senarai barangan perlu dan pembekal tidak boleh mengedarkannya ke kedai semasa PKP.
Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan, kira-kira 5 juta atau 22.8% penduduk negara ini merokok.
Ho berkata, minggu lepas, persatuannya membuat rayuan kepada kerajaan supaya membenarkan bekalan baru rokok diedarkan.
Presiden Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia T Muthusamy berkata, pasaran bagi rokok seludup memang sedia ada.
“Oleh sebab tidak ada lagi rokok di kedai, perokok beralih kepada rokok haram,” katanya.
Pengarah eksekutif Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia Shaun Edward Cheah berkata, aktiviti perniagaan rokok seludup telah lama wujud, tetapi semakin bertambah sejak PKP bermula pada 18 Mac lepas.
Beliau meminta Putrajaya membenarklan pengilang mengedarkan stok mereka kepada peruncit bagi menyekat perokok daripada membeli rokok seludup.
Pada Februari, JT International Bhd, anggota Kumpulan Tembakau Jepun berkata, rokok seludup mewakili 62.3% daripada jumlah rokok yang dijual di negara ini tahun lepas lapor FMT.