KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin, menegaskan beliau tidak akan merayu terhadap keputusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang menggantung keahliannya daripada parti itu.
Sebaliknya bekas Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), berkata beliau akan menjawab segala pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
“Bagaimanapun, proses itu (menjawab pertuduhan) tidak ada dalam parti, malah sehingga kini saya tidak tahu pertuduhan yang dikenakan terhadap saya,” katanya sebagaimana dilaporkan BH Online, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai notis penggantungan keanggotaannya oleh MPP pada 21 Mac lalu.
Semalam, Dr Afif menerusi akaun Twitter miliknya, menyifatkan tindakan itu sebagai antiklimaks.
“Sebagaimana yang dijangka, saya hanya menerima notis penggantungan tanpa sebarang tuduhan,” katanya yang turut memuat naik notis penggantungan itu.
Menerusi ciapannya, beliau turut mengesahkan menerima notis itu Jumaat lalu.
Pada Februari lalu, Dr Afif menerima surat tunjuk sebab atas dakwaan melakukan sabotaj dengan terbabit dalam kekacauan pada Kongres AMK di Melaka, Disember lalu.
Pada awal Mac lalu, beliau mengakui menerima tekanan daripada pelbagai pihak untuk meletakkan jawatan sebagai EXCO Kerajaan Pulau Pinang.
Dr Afif mendakwa menerima desakan meletak jawatan daripada kepemimpinan tertinggi parti di peringkat negeri dan pusat sejak pergolakan politik dalaman PKR berlaku.