Perak Hari Ini

Setuju Langsungkan Akad Nikah Semasa PKP Di Ipoh

IPOH: Seramai 40 pasangan di daerah ini bersetuju untuk melangsungkan majlis akad nikah pada sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Exco Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata sebelum PKP dilaksanakan, daerah sama telah menerima 64 permohonan bagi melangsungkan majlis tersebut.

“Setiap sesi akan ada tiga pasangan yang mana di Ipoh kita menerima 64 permohonan untuk majlis ini dan daripada jumlah itu, 40 pasangan bersetuju untuk akad nikah sepanjang PKP.

“Seluruh Perak kita ada lebih 300 permohonan. Permohonan yang didahulukan buat masa ini ialah yang telah memohon sebelum pelaksanaan PKP,” katanya.

Sementara itu Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusop Husin berkata majlis sama turut berlangsung di setiap pejabat agama Islam daerah seluruh negeri.

Jelasnya, sebagaimana yang ditetapkan, majlis akad nikah di Perak diadakan hanya pada Isnin, Rabu dan Jumaat yang mana setiap hari tersebut akan dijadualkan tiga sesi.

Selain jurunikah, beliau juga tidak menolak kemungkinan akan ada situasi yang mana saksi turut datang daripada kakitangan Pejabat Agama Daerah masing-masing.

“Selain daripada surat untuk majlis akad nikah, kita juga ada melaporkan kepada pihak polis bagi memudahkan urusan pergerakan bakal pengantin.

“Pada masa sama, majlis itu akan berlangsung dalam tempoh dianggarkan dalam 10 minit,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis akad nikah pertama di Perak dalam tempoh PKP di Pejabat Agama Islam Daerah Ipoh, dekat sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, Muhammad Razif Mohd Nasir dan pasangan Fatin Nabilah Hussain serta Mohd Hanif Zamri dan pasangan, Nur Afiqah Abdul Ghaffar, masing-masing selamat diijabkabulkan oleh jurunikah yang juga Pegawai Tadbir Agama Daerah Ipoh, Ashraf Ismail.

Ketika ditemui pemberita, Mohd Hanif berkata dia mengambil keputusan untuk melangsungkan majlis akad nikah pada ketika PKP adalah bagi memudahkan urusannya dan pasangan pada waktu ini.

“Saya merasakan selagi PKP ini berlarutan, sukar untuk saya menjaga pasangan saya dari segi makan dan minum kerana lain-lain rumah. Barang dapur pun kena dua.

“Namun, apabila sudah bernikah ini, urusan saya menjadi mudah kerana kami sudah serumah,” katanya yang bekerja sebagai jurutera.

Sementara itu, pasangannya, Nur Afiqah mengucapkan syukur kerana majlis akad nikah dapat juga berlangsung walaupun dalam tempoh PKP ini.

“Mohd Hanif telah berada di Ipoh dua hari sebelum PKP diumumkan. Dia ke sini kerana kami mahu menyelesaikan urusan baju pengantin dan majlis. Oleh sebab PKP dan dia masih di Ipoh, kami memutuskan untuk melangsungkan pernikahan ini,” katanya.

Terdahulu pasangan tersebut selamat diijabkabulkan dengan berwalikan abang sulung kepada Nur Afiqah yang kini berada di Sabah dan dihubungi menerusi panggilan video semasa majlis.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");