Berita Hari Ini

SPRM Tahan Dua Warga Asing Cuba Rasuah Polis

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lelaki warga Pakistan kerana cuba memberi suapan RM500 kepada anggota polis, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang disyaki terbabit dengan kegiatan menyeludup rokok di sini.

BH Online melaporkan, Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy dalam kenyataan hari ini berkata, dalam kejadian pada 6.20 petang semalam, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan anggota polis yang menjalankan Ops COVID-19 di sekitar Lido, Kepayan, di sini, dan didapati suspek memiliki sejumlah rokok pelbagai jenis tanpa cukai.

“Susulan itu, lelaki terbabit cuba merasuah anggota berkenaan supaya tidak mengenakan tindakan terhadap mereka yang telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

“Suspek kemudian diserahkan kepada SPRM sebelum ditahan di Pejabat SPRM Sabah untuk diambil keterangan,” katanya.

S Karunanithy berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 dan jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Beliau berkata, itu tangkapan kedua dalam tempoh 48 jam membabitkan perbuatan dan kegiatan jenayah sama oleh warga Pakistan semasa tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam kes pertama, dua warga Pakistan ditahan kerana cuba menyogok pihak berkuasa sebanyak RM7,000 bagi mengelak dikenakan tindakan kerana suspek dipercayai menyeludup rokok ketika melalui sekatan jalan raya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");