Berita Hari Ini

STFC Harap KKM Kongsi Data – Dzulkefly

SHAH ALAM – Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berharap Kementerian Kesihatan (KKM) dapat berkongsi data bagi membolehkan mereka melengkapkan analitik yang dibangunkan pihaknya.

Memetik Sinar Harian, Pengerusi STFC, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya membangunkan sebuah platform analitikal dengan keupayaan ‘Big Data Analytics’ dan kepintaran mesin supaya setiap rekomendasi dan tindakan diambil sejajar dengan bukti saintifik dan data mutakhir.

Menurutnya, platform itu dibangunkan pihaknya supaya rekomendasi STFC boleh disandarkan kepada kajian saintifik terkini yang berubah secara pantas dalam tempoh epidemik.

“Sebagai panduan kepada Menteri Besar Selangor memandu arah jentera negeri dalam melaksanakan langkah-langkah intervensi setempat, STFC beriltizam mengemukakan rekomendasi dan tindakan sejajar dengan bukti dan data mutakhir.

“Ini adalah tujuan platform analitikal dibangunkan jadi STFC amat mengharapkan perkongsian data daripada pihak KKM bagi melengkapkannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, data itu tidak bermaksud data pesakit atau ‘patient identity’ yang mesti kekal rahsia di bawah Akta Perubatan.

Menurutnya, analitik data tersebut akan dapat membantu memacu tindakan kawalan penyakit, saringan komuniti bersasar secara lebih mikro, dan juga menggerakkan saluran bantuan dan kebajikan termasuk menjaga kesihatan mental warga Selangor.

“Menerusi analitik dibangunkan, ia membolehkan ahli STFC tidak hanya tertumpu kepada isu beban kes Covid-19 malah turut mengambil kira beban populasi, taburan populasi terpinggir seperti ibu tunggal, warga emas, warga berpendapatan rendah dan faktor sosioekonomi dalam menyusun perancangan prioriti dan cadangan tindakan,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata, STFC mengambil maklum bidang kesihatan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, kerajaan negeri bertindak dalam rangka untuk membantu usaha-usaha KKM sebagai ‘’penjaga kesihatan’ (custodian of health) untuk seluruh Persekutuan Malaysia.

Katanya, dengan berbekalkan sedikit kepakaran dan pengalaman ahli STFC, pihaknya komited meningkatkan keupayaan kerajaan Selangor antara lainnya mengemukakan cadangan kepada jabatan kesihatan negeri untuk menangani penularan virus SARS CoV-2 serta mengurangkan pesakit Covid-19 khususnya di negeri ini.

“Objektif strategi menangani epidemik Covid-19 ini adalah memastikan kemampuan fasiliti-fasiliti kesihatan di negeri Selangor terutama wad unit rawatan rapi (ICU) dan kelengkapan seperti ventilator sentiasa mampu menangani peningkatan kes.

“Oleh itu sangat penting untuk sentiasa melandaikan keluk epidemic atau flattening the epidemic curve di negeri Selangor. Ini menjadi lebih kritikal dalam fasa penularan agresif (acceleration phase), sebelum vaksin atau ubat anti-viral yang khusus untuk membanteras virus SARS CoV-2 dihasilkan oleh mana-mana negara di dunia ini,” katanya.

Tambahnya, bagi memastikan objektif strategi itu tercapai, beberapa terma ditetapkan sebagai bidang tugas STFC antaranya meningkatkan pendidikan dan pemahaman warga Selangor mengenai virus dan penyakit baru itu.

Katanya, ia termasuk mendidik warga Selangor mengenai kepentingan untuk sentiasa mengamalkan penjarakan sosial dan menghasilkan garis panduan untuk kegunaan dan pelaksanaan pelbagai pihak.

“STFC juga berfungsi bagi membangunkan keupayaan kerajaan negeri dari segi penggunaan ‘Big Data Analytics’ serta ‘Machine Learning’ bagi memandu arah kegiatan perlaksanaan seperti saringan dalam komuniti dan pengesanan rapat supaya lebih terarah dan bersasar dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");