Perak Hari Ini

Tafsir Ayat Al-Quran Dengan Isu Covid-19 Perbuatan Terpesong – Jabatan Mufti Perak

IPOH: Tindak segelintir pihak yang memberi tafsiran dan mengaitkan ayat Al-Quran dengan Covid-19 adalah perbuatan pendustaan serta pembohongan terhadap Allah.

Jabatan Mufti Negeri Perak dalam satu kenyataan berkata perbuatan tersebut adalah sesuatu pemesongan di luar konteks terhadap kalam Allah tanpa sandaran ilmu yang benar.

“Dalam ayat 33 surah Al-Ahzab ini memerihalkan berkenaan akhlak para isteri Nabi Muhammad SAW yang menunjukkan ketinggian status dan keunggulan mereka yang boleh menjadi teladan kepada seluruh wanita muslimah.

“Antaranya mengenai akhlak ketika berbicara, memelihara diri semasa keluar dari rumah yang hanya wujud keperluan syarak sahaja serta tegahan berhias diri seperti perempuan jahiliah,” kata kenyataan itu, hari ini.

Tambah kenyataan itu lagi rata-rata masyarakat menggemarkan sesuatu yang ganjil dan seterusnya menularkan ia tanpa sebarang semakan mahupun penelitian terhadap kesahihannya.

“Sikap sebegini jelas akan membawa kepada fitnah dan kerosakan dalam masyarakat. Pendekatan terbaik adalah menyekat sesuatu maklumat yang tidak pasti apabila sampai kepada kita tanpa meluaskannya kepada orang lain.

“Adalah diperingatkan kepada umat Islam berkenaan peringatan dari Al-Quran mengenai sesuatu perkhabaran yang tidak diselidiki akan kebenarannya,” jelasnya.

Kementerian Kesihatan Malaysia Pada 3 April lalu memaklumkan jumlah kes keseluruhan Covid-19 di seluruh negara ialah sebanyak 3,333 kes.

Ekoran itu tular di beberapa media sosial kenyataan yang menyebut kononnya dalam Surah Al-Ahzab (33) ayat 33 ada berkaitan dengan Covid-19 yang juga dikaitkan dengan larangan keluar rumah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");