IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengesahkan bahawa semalam terdapat tiga gelandangan yang telah meloloskan diri dari Pusat Penempatan Gelandangan (PPG) Semasa Covid-19 di Arena Badminton Perak, dekat sini.
Walau bagaimanapun katanya perkara itu telah diserahkan kepada pihak polis bagi usaha menyiasat dan menjejaki individu-individu tersebut.
“Tiga orang telah meloloskan diri dan perkara ini telah kita siasat dan laporan polis berhubung kejadian ini telah dibuat. Kita juga mengesyaki berkemungkinan mereka ini terdiri daripada golongan penagih dadah,” katanya.
Namun ujar Ahmad Faizal tindakan selanjutnya sekiranya mereka dapat dikesan semula adalah dengan memberi bantuan yang sepatutnya.
“Jika mereka ini daripada golongan penagih dadah, kita harus membantu mereka supaya dapat menghilangkan ketagihan itu seperti menerusi pusat pemulihan dan sebagainya.
“Jika ada gelandangan yang memerlukan bantuan kesihatan, kita akan tempatkan mereka di hospital.
“Jika ada yang berkemampuan untuk mencari rezeki, kita akan beri pendedahan kepada mereka supaya dapat mengupayakan diri sehingga berjaya dapat mencari pekerjaan,” ujarnya.
Tambah beliau kini adalah masa yang bersesuaian bagi mengaudit gelandangan yang ada di seluruh Perak supaya bantuan yang bersesuaian kepada setiap mereka dapat disalurkan.
Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan kerja di PPG Semasa Covid-19 di Arena Badminton Perak, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin.
Sementara itu Ahmad Faizal berkata kesemua gelandangan yang ditempatkan di situ akan terus disantuni termasuk sewaktu Ramadan nanti.
Jelasnya selain bantuan seperti pakaian dan pembersihan diri, kesemua mereka turut ditayangkan filem-filem hiburan bagi memastikan tiada tekanan buat mereka sepanjang berada di PPG tersebut.
“Sepajang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini mereka akan terus berada di sini. Kita akan menjaga mereka sebaik mungkin,” ujar beliau.
Katanya lagi kerajaan negeri sedang merangka beberapa perancangan bagi membela nasib semua gelandangan di situ termasuk mendayaupayakan mereka selepas PKP berakhir.
Difahamkan setakat ini, seramai 67 gelandangan telah berjaya ditempatkan di PPG Semasa Covid-19 di Arena Badminton Perak dan daripada jumlah tersebut 64 terdiri daripada lelaki serta tiga perempuan.
Walau bagaimanapun jumlah tersebut tidak termasuk dengan tiga gelandangan yang berjaya meloloskan diri.