Berita Hari Ini

Undang-undang Ditegakkan Tanpa Mengira Status, Kedudukan – Huzir

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah berkompromi dan tidak akan melindungi sebarang perlakuan jenayah oleh mana-mana pegawai atau anggota pasukan itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata ia dibuktikan apabila Pejabat Peguam Negara membenarkan untuk menuduh pegawai kanan polis berusia 30 tahun dalam dua kes berasingan.

Beliau berkata, terdapat segelintir pihak yang cuba mempertikaikan kewibawaan polis mengendalikan kes membabitkan pegawainya.

Katanya, ketegasan dalam mengambil tindakan ini menunjukkan PDRM sentiasa menegakkan undang-undang tanpa mengira status dan kedudukan seseorang.

“PDRM sekali lagi mengingatkan kepada mereka yang bersikap skeptikal, prejudis dan memandang rendah akan profesionalisme kepolisan supaya sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan yang dianggap pramatang khususnya dalam melontarkan komen atau ulasan dalam siasatan kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor BH Online.

Pegawai polis berpangkat Inspektor yang dituduh kerana memperdagangkan dua wanita warga Mongolia, semalam, bakal berhadapan tuduhan kes rogol dan cabul ke atas mangsa yang sama hari ini.

Semalam, tertuduh, Hazrul Hizham Ghazali, 30, mengaku tidak bersalah sejurus kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar.

Tasnim menetapkan ikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsanya jika ada dan melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap awal bulan.

Tasnim menetapkan 17 Jun depan sebagai tarikh sebutan kes dan serahan dokumen.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).

Tertuduh ditahan pada malam 11 April lalu dan direman lima hari untuk membantu siasatan.

Hari ini, tertuduh bakal dituduh di Mahkamah Petaling Jaya, mengikut Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol dan Seksyen 354 kanun yang sama atas kesalahan mencabul.

Huzir berkata, PDRM tidak akan teragak-agak untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang ke atas mereka yang cuba untuk mencetuskan persepsi negatif dan kegusaran awam dalam menangani apa jua kes yang disiasat oleh PDRM.

“Jadilah masyarakat yang bertanggungjawab dalam membina negara, bangsa ke arah masyarakat yang aman dan sejahtera,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");