Berita Hari Ini

Ada Orang Asli Tak Termasuk Dalam Pengagihan Bantuan, Kata Suhakam

PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini menggesa kerajaan beri perhatian khusus kepada komuniti Orang Asli semasa perintah kawalan pergerakan, mengatakan terdapat Orang Asli yang tidak termasuk dalam pengagihan bantuan.

Dalam dialog bersama 88 wakil badan bukan kerajaan dan pertubuhan sivil dan komuniti Orang Asli pada 20 Apr, Suhakam mendapati pakej bantuan hanya diserah kepada kampung yang berdaftar manakala kampung tidak berdaftar terlepas dari perhatian atau ketinggalan.

Katanya, Orang Asli juga menghadapi cabaran menuntut faedah Bantuan Prihatin Nasional, “kerana mereka seringkali kekurangan dari segi pendidikan atau tidak mempunyai maklumat tentang pendaftaran BPN”.

“Semasa PKP, Orang Asli tidak dapat bekerja atau menjual hasil tanaman dari kebun atau hutan untuk memperolehi pendapatan harian, seterusnya menyebabkan ketidakmampuan mereka untuk membeli keperluan asas lain bagi menyara kehidupan,” katanya dalam kenyataan.

Suhakam berkata kebimbangan lain yang ditimbulkan di sesi dialog itu adalah risiko jangkitan daripada individu yang mengagihkan bantuan memandangkan mereka tidak dibekalkan dengan topeng muka dan pembersih tangan.

Oleh kerana cara kehidupan komunal, imuniti dan status kesihatan mereka yang rendah, terdapat kebimbangan penyebaran boleh berlaku dengan mudah sekiranya salah seorang daripada mereka dijangkiti, tambahnya.

“Terdapat kanak-kanak Orang Asli yang sukar dihubungi berikutan pergerakan mereka ke dalam hutan kerana ketakutan terhadap pandemik, manakala yang lain tidak dapat mengakses kelas dalam talian kerana tidak mempunyai komputer dan internet,” katanya.

Atas sebab itu, Suhakam mengesyorkan pihak berkuasa mendaftarkan Orang Asli sebagai penerima BPN secara automatik, dengan pilihan untuk menerima bantuan secara tunai.

Ia juga mengesyorkan penubuhan dana pemulihan dan sumber khusus untuk keperluan Orang Asli, termasuk sokongan untuk memulakan kembali kehidupan tradisi “ke arah kelestarian kehidupan mereka pada masa depan”.

Suhakam juga mengesyorkan Kementerian Kesihatan menubuhkan jawatankuasa kerja yang terdiri daripada wakil komuniti Orang Asli bagi membantu usaha mengenalpasti, melaksana, memantau, dan melaporkan keperluan kesihatan dan intervensi sewajarnya.

Perkhidmatan telekomunikasi juga perlu diperluaskan ke kawasan pedalaman untuk membolehkan akses kepada maklumat kesihatan melalui perkhidmatan teleperubatan.

“Sebagai tambahan, maklumat kesihatan yang berkaitan dalam bentuk audiovisual boleh disediakan sebaikbaiknya dalam bahasa peribumi,” katanya.

Kementerian Pendidikan juga disyorkan supaya menyediakan bahan keperluan untuk pembelajaran jarak jauh, dengan kerjasama guru dan Jabatan Kemajuan Orang Asli.

“Serta menyediakan sokongan kewangan kepada setiap kanak-kanak dan belia Orang Asli untuk mereka kembali ke sekolah, kolej atau institusi pengajian tinggi selepas pandemik,” katanya.

Suhakam mengingatkan Orang Asli terhalang daripada menerima perkembangan dan berita mengenai pandemik kerana mereka golongan rentan dari segi jaminan kewangan, status kesihatan yang rendah, dengan akses teknologi yang terhad memetik FMT.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");