Panasnya Hari Ini

‘Ada pihak hasut pemimpin Bersatu musuhi Umno’

Ketua Penerangan Bersatu Johor, Ya’Cob Atan mendakwa terdapat usaha untuk memecahbelahkan parti-parti yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) khususnya di Johor.

Sehubungan itu, beliau meminta ahli parti supaya berhati-hati dalam menerima berita mengenai hubungan antara Bersatu dan Umno di Johor.

“Sejak akhir-akhir ini terdapat pihak yang berkepentingan di dalam suasana politik di negeri Johor mahupun pusat, secara halus menghasut pemimpin dan ahli-ahli Bersatu bersikap memusuhi pemimpin dan ahli-ahli parti lain khususnya Umno.

“Matlamat mereka adalah hanya satu iaitu memecahbelahkan pemimpin dan ahli-ahli parti yang membentuk kerajaan PN.

“Tujuan dan matlamat akhir mereka sebenarnya adalah untuk menjatuhkan kerajaan PN yang sedia ada,” katanya dalam kenyataan.

Beliau meminta ahli dan pemimpin Bersatu di peringkat bahagian dan cawangan menerima kerajaan PN yang dibentuk oleh pimpinan Bersatu sendiri sama ada di peringkat negeri atau persekutuan.

“Berilah ruang dan peluang untuk kerajaan PN di peringkat negeri dan pusat membuktikan kemampuan mentadbir urus dan memerintah negeri dan negara demi survival masa depan rakyat dan negara.

Dalam pada itu, Ya’cob sekali lagi menegaskan bahawa pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang masih menyandnag jawatan pengerusi Yayasan Bandaraya Johor Bahru.

Ini sekali gus menafikan dakwaan bahawa pemimpin Umno, Shahrir Samad dilantik sebagai pengerusi yayasan berkenaan.

Terdahulu, Adun Permas dari Bersatu, Che Zakaria Mohd Salleh melahirkan rasa tidak puas hati terhadap prestasi Yayasan Pasir Gudang, yang diketuai oleh Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata yayasan itu amat diperlukan semasa wabak Covid-19 bagi membantu golongan memerlukan.

“Timbul rasa tidak puas hati bukan kerana jawatan dan itu bukan punca kemarahan saya.

“Akan tetapi saya akan berasa amat marah jika sekiranya rakyat tidak dibela.

“Permohonan tambahan untuk bantuan kepada golongan terkesan masih belum dapat diputuskan sedangkan kita sedang melalui Ramadan dan akan bertemu Syawal tidak lama lagi,” jelasnya.

Beliau juga menggesa Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad untuk duduk semeja dengan semua wakil rakyat yang membentuk kerajaan bagi mencapai kesepakatan dalam urusan pentadbiran di negeri Johor.

Sementara itu beliau juga mengucapkan tahniah kepada rakan dan juga seteru kepadnaya, Khaled Nordin, mantan menteri besar Johor yang telah dilantik sebagai pengerusi Bousted Holdings Berhad.

Che Zakaria sebelum ini dipecat dari Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) walaupun beliau merupakan pemimpin Bersatu di Johor.

Bersatu kini berpecah dua antara kumpulan menyokong presiden parti Muhyiddin Yassin dan pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada penghujung Februari lalu selepas  Muhyiddin mengumumkan Bersatu keluar daripada gabungan berkenaan.

Beliau disertai oleh sekumpulan ahli parlimen dari PKR yang dipimpin bekas timbalan presidennya, Azmin Ali. Bersama pembangkang, mereka membentuk kerajaan PN yang baru.

Mahathir sebelum ini menyatakan bahawa beliau berhasrat melepaskan penguasaannya terhadap parti itu dalam pemilihan Bersatu akan datang.

Mazlan dilihat merupakan penyokong Mahathir dan tidak hadir ketika sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Ismail memanggil semua Adun untuk menyatakan pendirian mereka.

PN mempunyai majoriti tipis kerusi di DUN Johor.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");