Perak Hari Ini

‘Alhamdulillah, Terubat Rindu Dapat Dirikan Solat Jumaat’

IPOH: Kebenaran mendirikan Solat Jumaat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini telah mengubat rindu jemaah di Perak sejak ia tidak dibenarkan bermula pada 18 Mac lalu

Imam Utama Masjid Sultan Azlan Shah, Syed Mohd Muzzaffar Syed Azlan, berkata sebaik sahaja pengumuman tersebut dibuat, beliau mengakui berasa sayu dan sedih.

“Apabila diumumkan kebenaran mendirikan Solat Jumaat semalam, saya berasa sayu dan sedih. Sebaik pengumuman itu, saya terus batalkan semua program kuliah saya hari ini, untuk hadir mengimamkan Solat Jumaat.

“Walaupun bukan giliran tugasan saya hari ini namun, saya mengambil keputusan mahu menjadi orang pertama yang mengimamkan Solat Jumaat ini.

“Alhamdulillah, terubat rindu. Kita doakan mudah-mudahan wabak Covid-19 ini segera berlalu dan biar ramai lagi orang dapat bersolat,” katanya ketika ditemui selepas Solat Jumaat di Masjid Sultan Azlan Shah, di sini hari ini.

Semalam, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) memaklumkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenankan bagi membenarkan Solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri di masjid serta surau didirikan bermula hari ini.

Namun hanya 12 orang daripada kalangan ahli jawatankuasa kariah dan pegawai masjid atau surau sahaja dibenarkan berbuat demikian.

Ketika diminta mengulas, Syed Mohd Muzzaffar berkata beliau akan mencadangkan kepada ahli jawatankuasa masjid supaya 12 jemaah tersebut dapat dipilih secara bergilir-gilir pada tiap Solat Jumaat.

Sementara itu, Pengarah JAIPK yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Masjid Sultan Azlan Shah, Datuk Mohd Yusop Husin berharap agar kesemua ahli jawatankuasa di 668 masjid dan 60 surau diri Jumaat di seluruh negeri dapat mematuhi Prosedur Standard Operasi (SOP) yang ditetapkan.

Ujar beliau, pemantauan akan terus dijalankan di seluruh negeri bagi memastikan tidak ada pihak yang cuba untuk mengambil kesempatan susulan kebenaran mendirikan Solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri itu.

“Kita tidak mahu apabila peluang ini diberikan akan nanti ada timbul sesuatu yang tidak baik akibat daripada pengabaian SOP.

“Sebagai contoh kita bimbang nanti sekiranya solat diadakan dengan jumlah jemaah yang melebihi daripada dibenarkan, akan timbul kluster baharu Covid-19. Ini akan memburukkan imej masjid dan surau.

“Harapan saya agar semua jemaah mahupun jawatankuasa terlibat supaya dapat terus mematuhi SOP yang diumumkan,” kata beliau.

Solat Jumaat yang didirikan di Masjid Sultan Azlan Shah berlangsung dengan norma baharu apabila para jemaah diminta untuk memberi maklumat peribadi dan menggunakan cecair pembasmi kuman sebelum suhu badan diperiksa setiap daripada mereka di pintu masuk masjid.

Sebaik sahaja azan pertama dilaungkan oleh Bilal Muhammad Khidir Daud, Imam terus naik ke mimbar dan ia diteruskan dengan azan kedua, tanpa solat sunat.

Khutbah Jumaat yang diringkaskan bertajuk ‘Ganjaran Di Akhir Ramadan’ dibacakan Syed Mohd Muzzaffar dalam tempoh tujuh minit dan seterusnya Solat Jumaat juga didirikan dalam tempoh sama.

Kemudian, bacaan doa dan zikir selepas solat berlangsung sekitar tiga minit sebelum kesemua jemaah bersurai tanpa solat sunat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");