Panasnya Hari Ini
Like

Azmin, 9 bekas MP PKR belum serah borang sertai Bersatu – Marzuki

May 23, 2020
245 Views
0 Comments
4 minutes read
Azmin, 9 bekas MP PKR belum serah borang sertai Bersatu – Marzuki

Bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan sembilan lagi ahli parlimen yang meninggalkan parti itu belum menyerahkan borang keahlian untuk menyertai Bersatu, kata Marzuki Yahya.

Marzuki, yang merupakan setiausaha agung Bersatu yang dilantik Dr Mahathir Mohamad namun dipecat oleh Muhyiddin Yassin, berkata demikian selepas Muhyiddin mengesahkan bahawa kumpulan Azmin telah menyertai Bersatu secara rasmi.

“Saya sendiri menanyakan kepada Azmin mana borang (keahlian), dan tidak ada respons sehingga ke hari ini, yang saya difahamkan tidak ada sebarang permohonan untuk menjadi ahli.

“Cuma yang ada pengumuman daripada presiden sendiri mengatakan mereka ini dah masuk ahli.

“Jadi kita nak tanyalah kalau mereka dah jadi ahli, mestilah kena ada nombor ahlinya, dia pasti tahulah dia duduk di bahagian mana, dia duduk di cawangan mana.

“Sampai hari ini kita tak menerima apa juga borang ataupun permohonan daripada Azmin dan rakan-rakannya untuk menyertai parti Bersatu,” katanya dalam satu forum atas talian di di Facebook Pemuda Bersatu (Armada) malam tadi.

Ketika ‘Langkah Sheraton’ pada Februari, Malaysiakini memetik sumber rapat Muhyiddin yang berkata bahawa Azmin dan sembilan yang lain telah menyertai Bersatu.

Muhyiddin kemudian sahkan penyertaan Azmin dan sembilan ahli parlimen itu ketika sidang media pada 11 Mac, selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet pertama.

“Ya, permohonan mereka telah diterima Majlis Tertinggi Bersatu,” kata Muhyiddin dalam sidang media itu.

Selain Azmin, sembilan ahli parlimen yang lain ialah Zuraida Kamaruddin (Ampang), Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Kamarudin Jaffar (Bandar Tun Razak), Mansor Othman (Nibong Tebal), Rashid Hasnon (Batu Pahat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo), dan Jonathan Yasin (Ranau).

Santhara Kumar, ahli parlimen Segamat difahamkan akan menjadi ahli bersekutu Bersatu.

Untuk rekod, Marzuki merupakan setiausaha agung Bersatu sehingga 18 Mac, sebelum Muhyiddin melantik diri sendiri sebagai pemangku pengerusi seterusnya melantik Hamzah Zainuddin sebagai setiausaha agung yang baru.

Bagaimanpun, Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad membantah pemecatan Marzuki dan menyifatkannya sebagai tidak sah kerana tidak dibincang dengannya.

Bersatu kini berpecah kepada dua kumpulan yang diketuai oleh Mahathir dan Muhyiddin susulan perselisihan kedua-dua pemimpin parti itu, sama ada berpihak kepada Pakatan Harapan atau Perikatan Nasional.

Sementara itu, Marzuki menegaskan bahawa Bersatu tidak pernah meninggalkan Pakatan Harapan sejak awal, walaupun terdapat kenyataan dari pelbagai pemimpin Bersatu sebaliknya.

Dia berkata ini kerana kenyataan seperti itu bertentangan dengan keputusan Majlis Tertinggi Bersatu, yang telah direkodkan dalam minit mesyuarat.

Ketika mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu pada pagi 23 Februari, keputusannya adalah untuk memberi kepercayaan kepada Mahathir untuk meminta sama ada parti itu harus meninggalkan Pakatan Harapan atau sebaliknya.

Walaupun begitu, para pemimpin Bersatu bertemu dengan pemimpin PKR yang diketuai Azmin di Hotel Sheraton malam itu, yang seterusnya membawa kepada gerakan politik yang membawa kepada kejatuhan kerajaan pimpinan PH.

Dalam forum malam tadi, Marzuki juga menyentuh kekeliruan berhubung pengumuman beliau bahawa Majlis Tertinggi Bersatu sebulat suara mengambil keputusan untuk meninggalkan PH.

Marzuki memberitahu bahawa sebelum pengumuman pada 23 Februari, dia berkata bahawa dia telah meminta Muhyiddin untuk menangguhkan pengumuman keluar dari PH sementara dia berbincang dengan Mahathir.

“Saya minta tangguh sebentar, beri peluang untuk saya berjumpa dengan Tun (Dr Mahathir) untuk berbincang tentang soal keputusan ini.

“Tetapi amat malang dalam pejalanan saya ke kediaman Dr Mahathir, saya telah menerima WhatsApp yang mana kenyataan telah dikeluarkan oleh presiden yang mana keputusan untuk kita keluar daripada PH itu berlaku.

“Itu bukan keputusan mesyuarat. Tetapi sebagai setiausaha agung saya akur juga dengan apa juga keputusan presiden dan saya mengeluarkan kenyataan berlandaskan apa yang dinyatakan oleh kenyataan sebelah petang,” katanya.

Untuk rekod, Muhyiddin berkata keputusan untuk meninggalkan PH dibuat pada mesyuarat khas parti yang diadakan pada 23 Februari.

Manakala, Marzuki pada 25 Februari memberitahu pemberita bahawa meninggalkan PH adalah keputusan yang sebulat suara oleh Majlis Tertinggi Bersatu.

Komen & Pendapat

Comments are closed.