Berita Hari Ini

Bacaan Khutbah Bukan Alasan Tinggal Solat Sunat Aidilfitri

KUALA LUMPUR: “Jangan jadikan alasan khutbah untuk solat sunat Aidilfitri menghalang kita mendirikan solat berkenaan, khutbah sunat dilakukan…jika tidak tahu, boleh terus mendirikan solat sunat dengan aturan yang begitu mudah.

“Ini mungkin pengalaman pertama dan mungkin juga terakhir kita berpeluang untuk dirikan solat sunat Aidilfitri bersama keluarga di rumah, jadi jangan lepas rebut peluang ini. Ia mungkin berlaku sekali dalam seumur hidup kita.”

Demikian nasihat pendakwah terkenal, Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias al-Hafiz yang menyeru kepada ketua keluarga untuk merebut peluang menjadi imam solat sunat Aidilfitri bersama keluarga memandangkan ia peluang yang sukar untuk diperoleh.

Memetik laporan Harian Metro, Mohd Kazim berkata, banyak hikmah penularan Covid-19 yang Allah SWT ingin tunjukkan dan jangan sia-siakannya kerana ia mungkin berlaku sekali saja sepanjang hayat.

“Solat sunat Aidilfitri ini tidak sukar untuk dilaksanakan, ia sama seperti solat fardu cuma ia mempunyai khutbah. Soal khutbah pula, ia memang ada aturannya dan jika ketua keluarga rasa ia sukar, tidak perlu untuk membaca khutbah, boleh terus solat sunat.

“Bagi ketua keluarga yang mungkin mahu membaca khutbah, khutbah ini boleh dijadikan dalam bentuk ucapan atau tazkirah ringkas asalkan memenuhi rukun yang ditetapkan. Tetapi kalau ketua keluarga tidak tahu, boleh teruskan solat.

“Jangan jadikan alasan itu untuk kita meninggalkan solat sunat Aidilfitri, walaupun ia sekadar solat sunat namun jangan lepas peluang ini. Kita tidak pernah menyangka akan menyambut hari raya dalam keadaan begini, Allah SWT turunkan pandemik ini bersama-sama dengan hikmah dan rahmat,” katanya.

Menyentuh soal aturan untuk mendirikan solat sunat, beliau berkata, solat ini boleh dilaksanakan pada sebelah pagi iaitu sekitar jam 8.30 pagi bersama-sama dengan isteri atau anak-anak.

Katanya, lafaz niat adalah ‘sahaja aku solat sunat Aidilfitri, dua rakaat (imam atau makmum) kerana Allah Taala dan terus mengangkat takbiratul ihram diikuti dengan doa Iftitah sehingga tamat.

“Selepas selesai membaca doa Iftitah, kita harus mengangkat takbir sebanyak tujuh kali dan setiap selang takbir berkenaan perlu dibaca tasbih dan selepas selesai, perlu membaca surah al-Fatihah diikuti surah lazim.

“Perbezaan dengan solat biasa adalah bilangan takbir saja, rakaat kedua pula bilangan takbir sebanyak lima kali dan selang takbir itu dibaca dengan tasbih. Selepas itu, perlu dibaca surah al-Fatihah dan mana-mana surah lazim serta meneruskan solat sehingga salam.

“Kalau sesiapa yang duduk sendiri iaitu tinggal seorang tidak perlulah khutbah, cukup dengan mendirikan solat sunat. Bagi yang berkeluarga boleh cuba membaca khutbah,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");