Membawang Hari Ini

‘Basyirah’ Buat Negara, Petugas Barisan Hadapan

KUALA LUMPUR: Penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyifatkan single terbaharu berjudul Basyirah sebagai satu doa dan harapan buat negara untuk segera menghapuskan wabak COVID-19 yang sedang melanda dunia ketika ini.

BH Online melaporkan, Siti berkata, lagu ciptaan Hafiz Hamidun dan lirik Ahmad Fedtri Yahya itu juga dedikasi darinya untuk semua petugas barisan hadapan yang sanggup menggadai nyawa demi keselamatan negara.

“Single Basyirah menterjemahkan sebuah harapan bahawa satu hari nanti akan ada khabar gembira buat rakyat Malaysia untuk segera terhindar dari pandemik COVID-19 ini.

“Saya mengharapkan lagu Basyirah mampu memberikan semangat kepada seluruh warga dunia yang kini berdepan dengan wabak dan petugas barisan hadapan berkorban sepenuh jiwa menjaga keselamatan negara,” katanya kepada BH Online.

Mengulas lanjut pembikinan lagu berkenaan, pemenang Anugerah Seri Perak, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-25 itu berkata, sepatutnya single Basyirah menjadi antara lagu yang dimuatkan dalam album terbaharunya.

“Demo lagu ini diterima agak lewat oleh pihak Universal Music dan Siti Nurhaliza Productions untuk dimuatkan dalam album terbaharu. Jadi, kami sepakat menyimpan lagu ini untuk satu projek khas.

“Disebabkan edaran album saya ditangguhkan, Basyirah berjaya saya rakamkan khusus untuk single Ramadan kerana bersesuaian dengan situasi yang melanda hari ini.

“Melodinya yang mempunyai pengaruh muzik dari Timur Tengah membuatkan saya tertarik untuk merakamkannya,” jelas penyanyi bervokal mantap ini.

Pernah bekerjasama menerusi lagu Mikraj Cinta, Hafiz berkata, dia cuba memberikan terbaik untuk lagu Basyirah.

“Sedikit sebanyak saya sudah boleh tahu mengenai kriteria sesebuah lagu yang ingin dinyanyikannya. Justeru, saya cuba menghasilkan lagu unik dan lain daripada apa yang pernah didendangkan. Saya menekankan aspek taranum dalam sebutan dan menyelitkan elemen qasidah,” terangnya.

Sementara itu, Fedtri mendedahkan lirik lagu Basyirah terpaksa dirombak beberapa kali untuk disesuaikan dengan kehendak Siti.

“Ketika mula mendengar lagu ini, melodinya sangat melankolik dan apa yang terbayang dalam fikiran adalah ia sangat sesuai untuk sebuah lagu putus cinta.

“Namun, Siti mahukan lirik lagu berkaitan dengan doa dan harapan rakyat yang mahukan wabak COVID-19 segera berakhir. Jadi, saya ubah lirik mengikut jalan cerita yang diberikan.

“Saya banyak menggunakan unsur perlambangan atau metafora dalam memilih perkataan,” katanya.

Basyirah sudah boleh didengari di semua pelantar digital, manakala video lirik sudah ditayangkan di laman YouTube rasmi, Siti Official Video, jam 3 petang, semalam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");