Membawang Hari Ini

Bekas ketua cabang PKR ganti Hans Isaac sebagai pengerusi Finas

Bekas ketua cabang PKR Bera, Zakaria Abdul Hamid dilantik sebagai pengerusi baru Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), menggantikan pelakon dan penerbit filem Hans Isaac.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dalam satu kenyataan juga mengumumkan Norman Abdul Halim dari KRU Studios sebagai timbalan pengerusi baru, menggantikan Affendy Ali Dally, seorang eksekutif Media Prima.

“Zakaria Abdul Hamid merupakan ahli perniagaan dan aktivis masyarakat. Beliau mempunyai Sarjana Perancangan Bandar dari California State University, Amerika Syarikat.

“Norman Abdul Halim mempunyai pengalaman yang luas dalam industri media dan hiburan di peringkat tempatan dan antarabangsa,” kata KKMM.

Finas ialah agensi kerajaan yang bertujuan untuk membangunkan industri filem tempatan.

Norman (gambar, atas) mempunyai rekod panjang berkecimpung di dalam bidang perfileman negara tetapi pelantikan Zakaria menyusuli rentetan ahli politik menggantikan pakar industri di bawah kerajaan PN.

Zakaria sebelumnya dipecat dari PKR kerana didakwa menawarkan projek Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Kerja Raya untuk melobi undi dalam pemilihan PKR pada 2018.

Bagaimanapun, Zakaria menafikan sebarang salah laku. Beliau pernah menjadi setiausaha politik kepada menteri kerja raya Baru Bian ketika era PH sebelum ini.

Beliau berpihak kepada kem yang dipimpin oleh bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali yang telah berpaling tadah daripada PH untuk menyokong PN.

Zakaria pada hantaran di Facebook 16 Mei lalu menyiarkan kunjungannya ke pejabat Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah di Putrajaya.

Saifuddin antara 10 MP PKR yang keluar parti dan menukar sokongan mereka kepada PN.

Walaupun mereka berpihak kepada Bersatu di bawah PN, mereka belum menyertai Bersatu secara rasmi.

Kumpulan serpihan PKR ini dispekulasikan sedang merancang untuk menubuhkan parti politik baru di bawah komponen PN.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");