Perak Hari Ini

Berpada-pada Berpolitik, Jangan Korbankan Kebajikan Rakyat – Sultan Perak

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menasihatkan agar para pemimpin tidak terlalu berpolitik sehingga mengabaikan kebajikan rakyat.

Baginda bertitah mahu supaya negeri ini ditabir oleh sebuah pentadbiran yang sentiasa menyanjung nilai amanah dan integriti.

“Harapan rakyat yang mahukan barisan pemimpin yang bersih dan tidak menyalahgunakan kuasa, wajib dipenuhi.

“Berpada-padalah berpolitik, berpolitik biar ada sempadannya. Kebajikan rakyat jangan dikorbankan dan masa hadapan negeri jangan dimusnahkan kerana kepentingan peribadi.

“Kerana percaturan politik yang keterlaluan, atau kerana dorongan sifat tamak dan haloba untuk mengumpulkan kekayaan diri, bagaikan tidak mengenal batasan,” titah baginda.

Baginda bertitah ketika menyempurnakan Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Tahun Ke-3, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 Perak, di Bangunan Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini mentadbir Perak sejak 12 Mei 2018 tumbang apabila berlaku peralihan kuasa kepada Perikatan Nasional (PN) pada 9 Mac lalu.

PN menguasai 35 kerusi daripada 59 kerusi DUN Perak terdiri daripada UMNO yang mewakili 25 kerusi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 4 kerusi, PAS (3) serta Bebas (3).

Sementara PH kini diwakili 24 kerusi DUN iaitu DAP 16 kerusi, Amanah (5) dan PKR (3).

Dalam pada itu, Sultan Perak turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada barisan Exco dan ADUN PH yang telah memberi perkhidmatan kepada negeri selama tempoh 22 bulan sebelum ini.

“Beta menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan yang terdiri daripada ahli-ahli Dewan yang mewakili Pakatan Harapan, yang masing-masing telah berusaha sedaya mungkin memberikan khidmat terbaik, selama tempoh 22 bulan menjunjung amanah beta dan memenuhi tanggungjawab terhadap rakyat,” titahnya.

Sementara itu Baginda turut bertitah agar langkah-langkah penjimatan kewangan negeri dapat terus dilaksanakan demi memastikan negeri mempunyai dana yang cukup bagi membiayai pelbagai projek pembangunan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");