Perak Hari Ini

Bil Elektrik: Kerajaan Tetap Tunai Janji – Shamsul Anuar

IPOH: Kerajaan tetap melaksanakan pemberian diskaun penggunaan elektrik sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) sebelum ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata dakwaan yang menyebut berlaku kenaikan bil ekoran kesilapan dalam kaedah pengiraan bil elektrik adalah tidak tepat.

“Kita faham masih ada kekeliruan dalam kalangan rakyat berkenaan perkara ini dan kita menyedarinya.

“Oleh itu kita telah meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kementerian saya untuk kita mempertingkatkan kaedah penjelasan terperinci kepada rakyat.

“Di samping itu kita juga akan membuka Kedai Tenaga dan memperluaskan lagi ruang untuk rakyat mendapat penjelasan lanjut berhubung perkara ini,” katanya.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah

Sejak akhir-akhir ini telah tular di media sosial berkaitan rungutan dan dakwaan orang ramai berkenaan bil elektrik yang dikatakan melambung secara tiba-tiba walaupun sudah dibayar sebelum ini.

Jelas Shamsul Anuar, sekiranya berlaku kekeliruan berkenaan hal tersebut rakyat diminta untuk terus menyalurkan sebarang aduan kepada Suruhanjaya Tenaga (ST) mahupun TNB.

“Saya dimaklumkan TNB akan menambah pembukaan Kedai Tenaga mulai 1 Jun ini ia supaya rakyat dapat berhubung terus bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan kekeliruan ini. Apa yang kita janjikan pada rakyat, kita akan tunaikan,” ujarnya

Tambah beliau lagi, TNB tidak boleh membuat pengiraan bil elektrik sewenang-wenangnya tanpa merujuk kepada ST terlebih dahulu dan justeru katanya kiraan bil yang dibuat telah diluluskan di peringkat ST.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media berkenaan Pelaksanaan Projek Rangsangan Ekonomi Pasca COVID-19 di Pejabat ST Perak, dekat sini, hari ini.

Terdahulu dalam sidang media tersebut, Shamsul Anuar mengumumkan program projek tenaga solar berkuasa besar oleh industri elektrik negara.

Katanya, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui ST akan menawarkan kota solar sebanyak 1,000 megawatt melalui bidaan di bawah program LSS@MEnTARI.

Tambahnya berbeza dengan projek LSS sebelum ini, program LSS@MEnTARI hanya membuka peluang kepada syarikat-syarikat tempatan untuk membuat bidaan.

“Kita menjangkakan program akan memperoleh hasil dari pembida sebanyak RM 4 bilion selain ia juga dapat mewujudkan tidak kurang 12,000 peluang pekerjaan kepada warga tempatan,” jelas beliau.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");