Berita Hari Ini

BPN: Jangan Janji Bulan, Bintang Jika Batu Sungai Pun Tak Mampu Nak Beri

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wirawati Putra Malaysia mencadangkan agar kerajaan meneliti semula pemberian Bantuan Prihatin Nasional (BPN) tanpa perlu “ditapis-tapis” seolah-olah kerajaan tidak ikhlas membantu rakyat.

Setiausahanya, Nurhafizah Jamalludin berkata, BPN yang diumumkan kerajaan tempoh hari adalah bantuan sara hidup sesebuah keluarga sepanjang tempoh Perintah Kawaan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Namun katanya, apa yang disampaikan oleh Perdana Menteri iaitu ‘tiada siapa ketinggalan’ seolah-olah retorik apabila apabila terdapat rakyat yang kurang berkemampuan dan memerlukan tidak tersenarai sebagai penerima BPN dengan alasan tidak munasabah.

“Boleh rujuk dokumen yang dimuat naik oleh LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri).

“Antara alasan yang paling banyak menjadi persoalan adalah tidak layak kerana pemohon atau pasangan mempunyai syarikat berdasarkan data agensi SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Nurhafizah berkata, BPN merupakan bantuan yang boleh dipohon oleh sesiapa sahaja yang melepasi syarat-syarat ditetapkan dan ia sepatutnya berbeza dengan Geran Khas Prihatin yang dijadikan suntikan kepada syarikat-syarikat yang terkesan dengan PKP ini.

Katanya, berdasarkan tinjauan di laman sosial terdapat rakyat Malaysia yang menerima BPN pada fasa pertama yang lalu walaupun mereka berdaftar dengan SSM.

“Bagaimana data-data ini diuruskan?

“Ia menimbulkan tanda tanya terutama kepada mereka yang berstatus tidak layak dan mempunyai SSM sedangkan ada sebahagian yang layak menerimanya.

“Bagaimana keciciran ini boleh berlaku?

“Bagaimana pengurusan data raya ini boleh terbahagi sedangkan mereka mempunyai status yang sama?” soalnya.

Sama kesnya seperti pemberian elaun barisan hadapan (frontliners) yang turut tular di laman sosial kebelakangan ini apabila ada yang memuat naik tangkap layar bahawa permohonan elaun perlu mengikut karenah birokrasi yang rumit dan panjang, ujarnya.

“Cukuplah kerajaan terdahulu cakap tidak serupa bikin dan sentiasa memberi harapan palsu yang akhirnya mengecewakan rakyat dan golongan kurang berkemampuan.

“Wirawati Putra juga berharap semoga pihak kerajaan lebih telus, adil dan ikhlas membantu rakyat dalam tempoh yang sukar ini.

“Rakyat amat memerlukan pertolongan dari kerajaan, bantulah seikhlasnya. Jangan menjanjikan bulan dan bintang jika batu sungai pun tak mampu nak beri,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");