IPOH- Kerajaan Perak telah memutuskan untuk menerima pakai prosedur operasi standard (SOP) Pembukaan Ekonomi yang diumumkan Kerajaan Persekutuan dengan memperhalusi sektor-sektor yang berisiko tinggi terhadap penularan jangkitan wabak koronavirus (Covid-19).
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri telah memutuskan penangguhan operasi terpilih bagi sektor makanan dan sektor sukan dan rekreasi.
Katanya, aktiviti rekreasi seperti jogging, kayuhan basikal, golf dan larian dalam kumpulan kecil tidak melebihi 10 orang dibenarkan namun ianya tidak melibatkan kawasan sukan dan rekreasi awam.
“Amalan norma lama seperti jumlah pengunjung yang padat di semua taman rekreasi di seluruh Negeri Perak pada waktu riadah, tidak lagi sesuai untuk diteruskan dalam normal baharu.
“Kerajaan Negeri perlu memastikan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mempunyai pasukan penguatkuasa mencukupi untuk ditempatkan di taman-taman rekreasi awam bagi tujuan pemantauan,”katanya dalam satu kenyataan.
Kata Ahmad Faizal, Kerajaan negeri juga perlu memastikan pihak PBT bersedia dengan pelaksanaan SOP yang telah ditetapkan di bawah PKPB bagi kawasn taman-taman rekreasi awam.
Antara syarat yang telah ditetapkan bagi sektor sukan adalah jarak fizikal satu meter di antara dua individu pada bila-bila masa, etika pengguna khususnya melibatkan kanak-kanak dan menghadkan jumlah pengunjung pada sesuatu masa yang memerlukan pemantauan oleh staff bertugas.
Sementara itu tambah beliau, kerajaan Negeri juga sedang menubuhkan pasukan-pasukan khas di peringkat PBT seluruh negeri bagi tujuan pemantauan dan penguatkuasaan di restoran dan premis makanan.
“Pentadbiran ini juga berpendirian bahawa semua pengusaha restoran dan premis makanan mesti mengambil langkah-langkah persediaan sebelum diputuskan membenarkan semula pelanggan untuk makan di premis (dine-in).
Justeru itu jelas beliau, bagi mengambil kira keperluan mengimbangi di antara kepentingan ekonomi dan aktiviti sosial serta ancaman penularan pandemik Covid-19, pentadbiran Kerajaan Negeri akan memastikan semua pihak berkepentingan mampu mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan, sebelum membenarkan para pelanggan untuk makan di restoran atau premis makanan dan membuka semula taman-taman rekreasi awam kepada orang ramai.