Berita Hari Ini

Bukan PH, tapi Muhyiddin yang lancar skim kawalan harga, kata PN

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menempelak Pakatan Harapan dan mengingatkan gabungan pembangkang itu supaya tidak melupakan individu yang memperkenalkan skim kawalan harga pada musim perayaan.

Menterinya, Alexander Nanta Linggi, berkata skim kawalan harga diperkenalkan Muhyiddin Yassin, yang merupakan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna pada 2000.

Beliau berkata, tidak wajar bagi orang lain menuntut kredit untuk skim terbabit.

“Ia diperkenalkan lama sebelum PH berkuasa, dan terbukti berkesan mengekang kenaikan harga, terutama ketika permintaan untuk barangan keperluan dijangka meningkat,” katanya dalam satu kenyataan.

Rabu lalu, Majlis Sekretariat PH dilaporkan berkata, Perikatan Nasional (PN) sepatutnya “mengekalkan” dasar kawalan harga, terutamanya ketika musim perayaan.

Katanya, PN “sepatutnya mencontohi kejayaan PH” dalam mengawal harga barangan keperluan dan meneruskan dasar menjaga kebajikan rakyat.

Ia bimbang mengenai kenaikan harga produk makanan menjelang Aidilfitri dan mengkritik KPDNHEP lambat bertindak menangani perkara berkenaan.

Katanya, PH berjaya mengawal harga 27 barangan dalam tempoh 30 hari, berbanding kerajaan sedia ada yang hanya mengawal harga 11 barangan dalam 15 hari.

Bagaimanapun, Linggi menekankan skim kawalan harga pada musim perayaan dilaksanakan Putrajaya setiap tahun ketika musim perayaan utama.

Beliau berkata, mekanisme untuk menentukan jumlah, jenis dan harga barangan dikemas kini dari semasa ke semasa, bergantung kepada situasi dan keperluan perayaan.

“Ini dilakukan selepas berbincang dengan pihak berkepentingan,” katanya.

Linggi berkata, harga bahan makanan seperti ayam tidak naik kerana ia hanya kembali ke tahap “normal” selepas turun dengan ketara ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Katanya, skim kawalan harga dipendekkan kepada 15 hari berbanding 30 hari berikutan sekatan akibat PKP.

Beliau berkata, kementeriannya menyenaraikan 35 barangan di bawah senarai kawalan harga berbanding 27 barangan tahun lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");