Perak Hari Ini

COVID-19 Dan Masalah Ekonomi Ialah Cabaran Buat Saya – Datuk Bandar Ipoh

IPOH: Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin mengakui menjadi Datuk Bandar yang termuda pernah mengisi jawatan itu bukanlah sesuatu yang mudah.

Ditambah pula dengan situasi terkini yang mana negara turut tidak terkecuali daripada dilanda penularan wabak COVID-19.

Justeru kata beliau, cabaran utama yang sedang dan akan dihadapi oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) kini ialah COVID-19 dan masalah dalam ekonomi setempat.

Jelasnya dalam tempoh jangka masa terdekat, MBI memberi fokus kepada masalah-masalah tersebut supaya ia dapat diuruskan secara baik dan seimbang.

“Apa yang boleh katakan ialah bagaimana untuk kita menangani masalah wabak dan masalah ekonomi itu dalam satu-satu masa.

“Ini yang cuba kita gerakkan atau dengan memberangsangkan kembali aktiviti di Bandaraya Ipoh selaras dengan penyelesaian isu-isu tersebut. Ini dalam jangka masa pendek.

“Dalam jangka masa panjang, kita masih memerlukan sebuah bandar raya yang mampan yang membolehkan semua penduduk berasa puas dan selesa.

“Kita bukan hanya mahu melihat bandar raya yang hanya berpendapatan tinggi malah, kita mahu ia juga dapat memberi keselesaan kepada penduduknya,” kata beliau.

Pada April lalu, Rumaizi, 45, dilantik sebagai Datuk Bandar Ipoh yang baharu menggantikan Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim yang memangku jawatan berkenaan sebelum ini selepas dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri pada Disember tahun lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata cabaran bagi memacu MBI ke arah satu tahap yang lebih baik pada masa hadapan dan mempertingkatkan imej MBI sebagai kerajaan tempatan terbaik di negara ini harus digalas sebaik mungkin.

“Namun cabaran utama ialah cabaran pada diri saya sendiri sama ada saya bersedia atau tidak. Saya sentiasa berusaha mempertingkatkan kemampuan diri dan organisasi. Ia supaya dapat memenuhi persepsi dan kehendak rakyat terhadap MBI,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Penyerahan Barangan Keperluan Harian kepada Pesara-Pesara MBI Anjuran Persatuan Pesara MBI (PERMAI) di sini, hari ini.

Sementara itu Rumaizi berkata kerja-kerja pengutipan sampah di seluruh Bandaraya Ipoh pada sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri berjalan seperti biasa.

Terdahulu beliau merasmikan majlis pelancaran bantuan barangan keperluan yang akan diagihkan kepada 105 ahli PERMAI yang terkesan dengan COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Barangan tersebut terdiri daripada beras, kicap, susu pekat, minyak masak, gula, kopi, sardin, dan sebagainya.

Pada masa sama, Rumaizi berharap agar lebih ramai pesara MBI akan dapat menyertai persatuan tersebut yang kini menjangkau 170 keahlian itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");