Perak Hari Ini

Covid-19 Tidak Terlalu Beri Kesan Pada Taman Tema

IPOH: Pengurusan Taman Tema Lost World Of Tambun (LWOT) dan Lost World Hotel masih mematuhi selain sentiasa menantikan sebarang perkembangan lanjut berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) oleh kerajaan.

Pengurus Besarnya, Nurul Nuzairi Mohd Azahari berkata setakat penularan wabak Covid-19 ini, ia tidak terlalu memberi kesan besar kepada taman tema tersebut.

Katanya walaupun LWOT masih menutup pintu kepada umum sejak Mac lalu, namun kerja-kerja yang melibatkan pengurusan zoo dan landskap di atas tanah berkeluasan kira-kira 40 ekar itu masih berjalan seperti biasa.

“Kekuatan Sunway dan LWOT setakat ini terjamin kerana ada sokongan kuat daripada Sunway Berhad.

“Apa yang Sunway pernah lalui seperti masalah kewangan sebelum ini menjadikan pengajaran berguna kepada Sunway ketika ini tatkala menghadapi tempoh penularan wabak Covd-19 ini.

“Saya berharap kita tidak menghadapi situasi seperti sehingga terpaksa membuang pekerja. Setakat ini perkara itu tidak belaku kepada mana-mana pekerja di taman tema mahupun di hotel kami,” katanya.

Jelas beliau sehingga kini juga kira-kira 350 pekerja tempatan di LWOT masih menerima pembayaran gaji penuh walaupun taman tema dan hotel masih tidak dibuka kepada umum.

“Pada masa kini kita sedang mengkaji bagaimana untuk mengoperasikan taman tema ini kembali selepas ini, sekiranya dibenarkan beroperasi semula.

“Kita mengambil pengajaran dan mengkaji bagaimana perlaksanaannya di taman tema di luar negara.

“Maknanya dari segi pelaksanaan penjarakan sosial, proses sanitasi, dan sebagainya namun suasana riang gembira dalam taman tema masih dititikberatkan.

“Selain itu, kita juga mengadakan sesi latihan ‘role play’ kepada kesemua kakitangan untuk memahami bagaimana mengoperasikan kembali taman tema dalam norma baharu kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada acara penyerahan sumbangan 100 bungkusan makanan kepada gelandangan, sukarelawan dan petugas media di Pusat Penempatan Gelandangan di Arena Badminton, di sini, baru-baru ini. Hadir sama, Pegawai Daerah Kinta, Halizah Sipun

Menurut Nurul Nuzairi, acara itu diadakan bersempena dengan kempen ‘’#SunwayforGood Raya Cheer’’ yang diadakan di seluruh negara.

Katanya penyerahan sumbangan makanan itu dilakukan pada sesi bersahur dan berbuka kepada yang beragama Islam sementara yang bukan beragama Islam menerima sumbangan makanan pada lima sesi bermula pagi sehingga malam.

“Kita di Sunway berharap dapat membantu golongan yang memerlukan di Malaysia dan di Perak kita sudah mempunyai sekitar tiga program yang berlangsung sepanjang PKP ini.

“Program pertama ialah sumbangan makanan kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Choh Ulu Kinta, kedua sumbangan makanan kepada masyarakat di Kampung Talang Kuala Kangsar dan ini merupakan program ketiga.

“Kita juga akan mengadakan beberapa program susulan selepas ini sepanjang bulan Ramadan dan Syawal yang akan datang,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");