Panasnya Hari Ini

Dua Per Tiga Ketua Armada Bahagian Enggan Kembali Pada PH

KUALA LUMPUR: Sebahagian besar pemimpin akar umbi Pemuda Bersatu (Armada) menjarakkan diri mereka daripada ketetapan dibuat Armada pusat yang mahu parti itu memutuskan kerjasama dengan Umno dan kembali kepada Pakatan Harapan (PH).

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan hari ini, seramai 143 daripada 191 ketua Armada bahagian – atau hampir dua per tiga daripada keseluruhannya – berkata mereka menolak pendirian berkenaan.

Sebaliknya, kata mereka, pendirian yang dibuat ialah kekal berpegang kepada keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 23 Feb lalu yang memutuskan untuk mereka keluar dari PH.

“Keputusan ini kekal sehingga terdapat keputusan baru MPT,” kata kenyataan tersebut.

Semalam Armada pusat membuat keputusan menolak kerjasama parti itu dengan Umno, sebaliknya mahu ia kembali bekerjasama dengan PH.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, keputusan tersebut dicapai dalam satu mesyuarat khas yang dihadiri exco dan ketua Armada negeri, serta dihadiri Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad.

“Ahli-ahli mesyuarat telah berbincang dan pada akhirnya bersetuju untuk menetapkan pendirian rasmi sayap Armada, iaitu menyokong penuh pendirian Dr Mahathir untuk tidak bekerjasama dengan Umno.

“(Serta) mengembalikan mandat rakyat sebagaimana yang telah diberi pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lepas dan kembali bekerjasama dengan PH,” katanya.

Memetik MalaysiaKini, menurut Armada, pendirian itu dicapai berdasarkan undian dengan dua per tiga anggota mesyuarat menyokong, manakala selebihnya berkecuali.

Malaysiakini difahamkan majoriti exco Armada pusat menghadiri mesyuarat berkenaan selain tujuh daripada 15 ketua Armada negeri.

Bagaimanapun menurut kenyataan dikeluarkan hari ini, pemimpin akar umbi itu menegaskan, pendirian dibuat semalam tidak menggambarkan pendirian keseluruhan Armada.

Malah kata mereka ia secara tidak langsung hanya mengeruhkan krisis politik Bersatu.

“Adakah Armada Nasional boleh menyenaraikan Armada bahagian dan negeri manakah yang menyokong kenyataan bersama itu?

“Hal ini tidak pernah dibincangkan bersama ketua Armada bahagian yang ada 191 orang termasuk di Sabah. Armada Nasional harus menghormati struktur berorganisasi,” katanya.

Perkembangan itu berlaku ketika status sebenar kerjasama Bersatu dengan parti lain dalam Perikatan Nasional (PN) masih belum nampak meyakinkan.

Misalnya kenyataan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, yang menganggap PN bukan pertubuhan berdaftar dan kerjasama dibuat melibatkan kalangan ahli parlimen saja.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");