Berita Hari Ini

‘Ia satu pembohongan’ – Bekas AG bertegas tak pernah setuju tawaran Riza Aziz

Bekas peguam negara Tommy Thomas menyifatkan dakwaan bahawa beliau setuju dengan penyelesaian dengan Riza Aziz berhubung pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB sebagai “pembohongan”.

Thomas menjawab kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 14 Mei lalu yang berkata langkah pendakwaan untuk memohon mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak itu, telah dipersetujui olehnya.

“Ini satu pembohongan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Thomas yang membuat keputusan untuk mendakwa Riza pada Julai 2019, berkata peranannya dalam kes tersebut hanyalah melantik bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwa raya.

“Menerusi surat bertarikh 18 November 2019, peguam cara yang bertindak bagi pihak Riza menghantar representasi bertulis untuk memohon semakan semula pendakwaan jenayah terhadap anak guam mereka.

“Maka tiada apa yang mencurigakan (sinister) berkenaan penghantaran representasi oleh peguam cara Riza itu.

“Sama ada saya secara peribadi bertindak untuk bersetuju dengan permohonan mereka atau tidak, adalah isu berbeza. Saya tidak (setuju). Ia semudah itu,” katanya lagi.

Menurut Thomas, beliau menyerahkan surat itu kepada Gopal untuk disemak dan mengesyorkan maklum balas kepadanya.

“Sehingga peletakan jawatan saya (pada 28 Februari), saya tidak menerima apa-apa nasihat daripada Sri Ram. Maka saya tidak membuat keputusan berkenaan representasi Riza sebelum peletakan jawatan saya,” katanya.

Beliau turut memetik laporan media berkenaan permintaan pihak pendakwaan kepada hakim Mahkamah Sesyen Azman Ahmad pada 12 Mac, agar memberi lebih masa bagi membolehkan Pejabat Peguam Negara membuat keputusan terhadap representasi Riza.

Hakim Mahkamah Persekutuan Idrus Harun dilantik sebagai peguam negara yang baru pada 6 Mac.

“Pada 2 April, peguam Riza, Hariharan Singh dilaporkan berkata beliau masih menunggu balasan daripada Pejabat Peguam Negara berkenaan representasi anak guamnya, dan ketika pengurusan kes pada 14 Mei, hakim Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskan Riza daripada pendakwaan jenayahnya, susulan permohonan yang dibuat Gopal Sri Ram.

“Berkenaan fakta yang tak dapat disangkal ini, tiada keputusan yang dibuat oleh pihak pendakwaan terhadap representasi Riza sehingga 2 April. Ini lebih sebulan setelah saya letak jawatan.

“Maka keputusan untuk menerima representasi Riza, yang membawa kepada DNAA terhadapnya, pastinya dibuat antara 2 April hingga 14 Mei, ketika saya tidak lagi menjadi peguam negara,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");