Perak Hari Ini

Jangan Berlaku Kemalangan Maut Seperti Itu Lagi – MB Perak

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberi amaran agar insiden yang meragut nyawa Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail tidak berulang kembali dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih dikuatkuasakan ini.

“Saya ingin memberi amaran pada orang ramai supaya pada waktu PKP ini jangan lagi berlaku kemalangan seperti ini.

“Patuhilah arahan kerajaan sebaiknya dengan tidak keluar rumah tanpa sebab ataupun sebarang alasan yang munasabah,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi hari ini, Safwan yang sedang bertugas di sekatan jalan raya Op Covid-19 berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lekas di Selangor maut selepas dirempuh sebuah kereta pacuan empat roda yang disyaki dipandu pemandu mabuk.

Beliau yang juga anggota di Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai gugurnya seorang pahlawan negara ketika menjalankan tugas demi kepentingan orang ramai.

Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham selain berharap kesemua mereka tabah dalam menghadapi ujian tersebut tatkala sedang menyambut Ramadan serta Syawal yang akan tiba.

“Saya menziarahi keluarga Allahyarham dan mendapati adik-adik beliau masih belajar. Bapa Allahyarham pula seorang bekas anggota polis Komando 69 yang mengalami masalah kesihatan.

“Saya telah menyatakan kepada keluarga ini bahawa apa juga masalah, kerajaan atau saya selaku Ahli Parlimen Tambun akan membantu mereka sebaik mungkin.

“Selepas ini kita akan cuba melihat bagaimana dapat kita membantu ayah Allahyarham yang mengalami masalah jantung begitu juga adiknya yang masih bersekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui menziarahi keluarga Allahyarham Safwan di Taman Jaya Delima, Tanjung Rambutan di sini malam tadi.

Hadir sama, Isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Exco Kerajaan Negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi serta Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");