Berita Hari Ini

Jho Low dipercayai ‘100%’ kerana rapat dengan Najib, kata bekas CEO 1MDB

Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini beliau mempercayai Low Taek Jho “100%” kerana ahli perniagaan buruan itu rapat dengan bekas perdana menteri Najib Razak.

Beliau berkata Low, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, mempunyai akses ke rumah Najib di Taman Duta dan memberi kepadanya nombor telefon pembantu Najib.

“Ini adalah perkara kecil yang dibina mengikut peredaran masa,” tambahnya.

“Satu contoh yang boleh saya kongsikan adalah ketika saya belanja Jho Low nasi goreng yang saya buat, dan Jho Low berkata dia ingin memberikannya kepada Najib.

“Jho Low kemudian beritahu saya bahawa perdana menteri berkata nasi goreng itu sedap,” katanya yang mengundang tawa orang ramai yang hadir di mahkamah.

Shahrol berkata demikian ketika ditanya peguam Muhammad Shafee Abdullah mengapa beliau begitu mempercayai Jho Low ketika membuat keputusan untuk 1MDB melabur dalam sebuah syarikat, Cayman Island. Beliau juga ditanya sama ada keputusan itu disahkan oleh Najib, yang merupakan pemegang saham 1MDB.

Shahrol sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa Jho Low bebas keluar masuk ke kediaman rasmi Najib di Putrajaya sepanjang tempoh memegang jawatan sebagai timbalan perdana menteri, dan beliau akan meminta kakitangan di situ menyediakan “Milo ais”.

Ketika ditanya mengenai keputusan 1MDB untuk memperoleh 49% saham dalam PetroSaudi Oil Service Ltd menerusi nota pelaburan Murabaha, beliau berkata Jho Low dan penasihat umum syarikat itu, Jasmine Loo Ai Swan, memberitahunya keuntungan akan disalurkan kembali kepada 1MDB.

Ketika ditanya sama ada beliau memberi taklimat kepada lembaga pengarah mengenai rundingan itu, Shahrol berkata ia dilakukan oleh Loo.

Perbicaraan dijadualkan diteruskan pada 4 Jun di depan hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah.

Najib sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa atas dakwaan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");