Panasnya Hari Ini

Muhyiddin Yakin, Percaya Bersatu Akan Terus Teguh

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan beliau tidak mengambil tindakan terburu-buru terhadap lima pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang gugur keahlian pada 28 Mei lalu.

Astro Awani melaporkan Presiden merangkap Pemangku Pengerusi Bersatu itu berkata beliau mahu berlaku adil kepada semua pihak walaupun banyak desakan supaya tindakan diambil lebih awal.

“Mereka tidak dipecat daripada parti. Sebaliknya perbuatan mereka melanggar perlembagaan parti telah menyebabkan keahlian mereka terhenti dengan serta-merta.

“Saya sendiri tidak mengambil tindakan terburu-buru walaupun terdapat banyak desakan supaya tindakan terhadap mereka diambil lebih awal.

“Saya mahu berlaku adil kepada semua pihak dan memastikan apa sahaja tindakan yang dibuat mestilah berlandaskan perlembagaan parti.

“Tiada mana-mana individu yang mengatasi perlembagaan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu sebagai reaksi beliau kepada pengguguran keahlian melibatkan lima Ahli Parlimen Bersatu iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Datuk Amiruddin Hamzah dan Dr Maszlee Malik.

Beliau pada masa sama yakin dan percaya Bersatu akan terus teguh setelah menghadapi banyak cabaran dari awal parti ini ditubuhkan.

“Yang penting kita tidak berjuang demi mana-mana individu, tetapi demi agama, bangsa dan negara kita.

“Tentunya kita berasa dukacita dengan pilihan yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir untuk tidak berada bersama-sama kita dalam wadah dan haluan perjuangan parti sepertimana yang telah diputuskan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi.

“Tun bersama pengikutnya yang lain memilih untuk terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan walaupun parti memutuskan sebaliknya.

“Jika itu pilihan Tun, saya ucapkan selamat maju jaya.

“Kita berdoa kepada Allah SWT untuk memberikan kita semua segala kekuatan dalam menghadapi zaman yang sukar ini dengan penuh tabah dan beristiqamah serta dibimbing kita dengan segala tawfik dan hidayah-Nya,” ujarnya.

Justeru, beliau menyeru semua ahli Bersatu untuk bersamanya dalam memperkukuhkan Kerajaan demi masa depan Malaysia yang lebih aman dan sejahtera.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");