Berita Hari Ini

Keghairahan beraya undang penularan ‘pembawa senyap’

Kesibukan orang ramai membeli belah persiapan Aidilfitri dikhuatiri mencetuskan kluster baharu yang berpunca daripada pesakit COVID-19 tanpa gejala atau ‘pembawa senyap’.

Pakar epidemiologi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, berkata wabak yang mula menular di seluruh dunia, sejak Disember lalu itu setakat ini lazimnya menunjukkan gejala ringan, terutama dalam kalangan individu sihat.

Katanya, faktor berkenaan sekali gus meningkatkan kemungkinan penularan sekiranya orang ramai mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) ketika berada di tempat awam, khususnya yang mempunyai persekitaran tertutup, sempit dan sistem pengudaraan tidak baik.

“Boleh berlaku kluster baharu membabitkan individu tanpa gejala. Ini kerana mereka tidak sedar sebenarnya dalam badan masing-masing mempunyai virus, namun tidak menunjukkan sebarang petanda.

“Apabila pulang ke rumah, berkemungkinan virus itu berupaya menjangkiti individu lain dan yang paling ditakuti ialah golongan berisiko seperti kanak-kanak dan warga emas.

“Orang muda yang mempunyai penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti kegemukan melampau atau obesiti juga berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi kesihatan sekiranya dijangkiti COVID-19.

“Jadi kita tidak boleh pandang ringan bahaya wabak ini walaupun dalam kalangan orang muda yang lazimnya dikatakan sihat tubuh badan,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Selaras Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kerajaan memperuntukkan kelonggaran untuk aktiviti ziarah, namun terhad pada hari raya pertama dan tidak melebihi 20 orang.

Kelonggaran untuk aktiviti ziarah itu bagaimanapun hanya tertakluk kepada perjalanan dalam negeri, iaitu antara daerah dan bukannya merentas negeri.

Berdasarkan penelitian semasa, Malina berkata, pematuhan kebanyakan orang ramai terhadap SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) setakat ini amat menggalakkan.

“Masing-masing memakai topeng muka dan menjaga jarak sosial, namun masih ada peniaga atau pekerja di tempat beli-belah yang mengabaikan SOP KKM.

“Ini kerana pekerja berkenaan sudah biasa dengan beramah mesra dengan kawan-kawan, sekali gus tidak menghiraukan kepentingan menjaga penjarakan sosial dan amalan penjagaan kebersihan diri,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan University College Sedaya International (UCSI), Prof Dr Mustafa Ali Mohd, berkata punca penularan COVID-19 sehingga mengundang maut di seluruh pelosok dunia ketika ini berpunca daripada pergerakan manusia.

Mengambil kira punca itu, katanya, kes harian COVID-19 di Malaysia berupaya melonjak secara mendadak sekiranya pergerakan orang ramai tidak dikawal, khususnya membabitkan ‘penyebar tegar’ virus berkenaan.

“Penyebar tegar ini merujuk kepada individu tanpa gejala atau pembawa senyap, sebab mereka tidak sedar bahawa virus COVID-19 ada dalam badan dan bersedia untuk menjangkiti orang lain yang ditemui ketika pergerakan.

“Sekarang ini kita tidak boleh mengambil kira perbezaan antara zon sangat kerana ia sekadar tafsiran pegawai KKM bagi memantau operasi harian dan meletakkan keutamaan tugas.

“Ini kerana bukan semua dalam Zon Merah dijangkiti virus, justeru tanggapan seperti ini digunakan segelintir masyarakat untuk melakukan pergerakan tanpa menghiraukan risiko jangkitan penularan kepada individu lain,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");