Sukan Hari Ini

Kelantan Makin Tertekan

KUALA LUMPUR: Peletakan jawatan mengejut Datuk Wan Rakemi Wan Zahari sebagai Pengarah Urusan Team Red Warriors (TRW) Sdn Bhd, kelmarin dianggap menjadi episod `bala paling besar’ melanda bola sepak Kelantan ketika ini.

Menurut BH Online, apa tidaknya, Wan Rakemi sebelum ini menjadi individu penting dalam mendapatkan dana bagi menguruskan kewangan pasukan utama Kelantan yang beraksi dalam saingan Liga Perdana.

Ini kerana TRW Sdn Bhd adalah entiti yang bertanggungjawab mengendalikan skuad utama pasukan Kelantan termasuk dari segi pembayaran gaji pemain dan pegawai pasukan, selain terbabit secara langsung menyelesaikan isu tunggakan gaji.

Peletakkan jawatan itu juga menyaksikan syarikat miliknya, After Image Sdn Bhd sebagai pemegang taruh terbesar dalam TRW Sdn Bhd turut menarik diri sebagai rakan kongsi rasmi pasukan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Husin Deraman ketika dihubungi mengakui pengunduran Wan Rakemi sebagai masalah besar buat Kelantan.

“After Image Sdn Bhd adalah pemegang taruh terbesar iaitu sebanyak 80 peratus dalam TRW Sdn Bhd manakala KAFA pula 20 peratus. Mereka yang uruskan pasukan Liga Perdana Kelantan termasuk cari penaja. Bila dia (Wan Rakemi) berundur, maka seolah-olah KAFA kena ambil alih semula.

“(Peletakan jawatan Wan Rakemi) memang masalah besar dengan keadaan sekarang ini,” katanya sebagaimana dilaporkan BH Online.

KAFA sebelum ini sudah berdepan tekanan berganda susulan perlu menjelaskan hutang berjumlah RM629,620.28 kepada bekas pemain import, Casio Francisco De Jesus selain beberapa bekas pemain mereka turut menuntut tunggakan gaji.

Selain itu, Husin menjelaskan EXCO KAFA akan mengadakan perbincangan mengenai peletakkan jawatan Wan Rakemi dan hala tuju persatuan itu pada 10 Jun ini.

“Kita tak boleh mengadakan mesyuarat awal sebab Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Kalau boleh hari ini juga kita nak bincang.

“Kita juga tak boleh salahkan dia (Wan Rakemi) sebab perancangannya sudah bagus. Namun, krisis COVID-19 menjejaskan segalanya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");