Berita Hari Ini

Keputusan Tunai Haji Diumum Selepas Hari Raya

PUTRAJAYA: Keputusan sama ada rakyat Malaysia boleh menunaikan ibadat haji pada tahun ini akan diumumkan selepas Aidilfitri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata Malaysia masih menunggu pengumuman rasmi Arab Saudi sebelum membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu.

“Jawapan kita bergantung kepada bagaimana kenyataan daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

“Kita juga akan berbincang secara khusus dalam melaksanakan yang itu (haji) sekiranya dibenarkan. Keputusan itu akan diumumkan selepas mendapat satu jawapan yang rasmi daripada pihak Arab Saudi,” katanya kepada media selepas menyaksikan penyerahan sumbangan CIMB Islamic Bank kepada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), di sini hari ini.

Pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank, Ahmad Shahriman Mohd Shariff menyampaikan sumbangan wang tunai RM150,000 kepada Yang Dipertua YADIM, Nik Omar Nik Abd Aziz.

Nik Omar berkata, sumbangan CIMB Islamic Bank untuk program YADIM Peduli: Musa’adah COVID-19 dan ia bakal diagih kepada kumpulan asnaf, ahli keluarga kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40), petugas barisan hadapan dan golongan yang terkesan dengan pandemik COVID-19, termasuk kumpulan khas, iaitu kluster tabligh dan mahasiswa.

Program Musa’adah COVID-19 bermula pada Mac lalu dan sehingga kini, sebanyak 9,732 orang menerima bantuan berbentuk wang tunai serta barang keperluan asas yang membabitkan peruntukan sebanyak RM480,280. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");