Berita Hari Ini
Like

Kereta Curi Lembu Terbabas

May 26, 2020
367 Views
0 Comments
1 minute read
Kereta Curi Lembu Terbabas

REMBAU: Hasrat seorang lelaki untuk melarikan seekor lembu tidak kesampaian apabila kereta yang membawa haiwan berkenaan terbabas dan terbalik di simpang tiga Pedas-Pilin, dekat sini, petang semalam.

BH Online melaporkan Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan, Anuar Bakri Abdul Salam, kejadian jam 6.30 petang, semalam lelaki berusia 40-an itu dipercayai cuba melarikan seekor lembu menggunakan kereta dengan memasukkan binatang itu di dalam but kereta.

“Kami menerima maklumat mengenai kejadian kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta di simpang tiga Pedas-Pilin, Rembau, Negeri Sembilan dan bertindak atas maklumat itu sepasukan anggota polis dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, pihak polis mendapati sebuah kereta dipandu seorang lelaki tempatan mengalami kemalangan kerana terbabas dan terbalik di tengah jalan raya.

“Pemeriksaan lanjut terhadap kereta terbabit menemui satu set senapang angin buatan sendiri dalam kereta berkenaan dan terdapat seekor lembu dalam bonet kereta itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Anuar Bakri berkata, tangkapan dibuat ke atas pemandu kereta berkenaan dan polis juga merampas satu set senapang angin buatan sendiri dari pemandu kereta terbabit.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 8(1) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

“Polis minta sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu tampil membantu dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau di talian 06-6851999.

“Mereka juga boleh menghubungi Asisten Superintendan, Md Nurazam Md Ghazali di talian 013-8005225 atau Sarjan Mejar Ab Wahab Abu Bakar di talian 011-35562291 untuk membantu siasatan,” katanya.

Komen & Pendapat

Comments are closed.