Perak Hari Ini

Kes Chikungunya Meningkat Lebih 30 Kali Ganda Di Perak

IPOH: Perak mencatatkan peningkatan 441 kes iaitu melebihi 30 kali ganda kes jangkitan Chikungunya bagi Januari sehingga 23 Mei ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, Perak mencatatkan 454 kes berbanding 13 kes sehingga minggu yang sama pada tahun 2019.

Ujarnya dalam tempoh sama, Kinta menjadi daerah yang merekodkan peningkatan tertinggi bagi kejadian kes dan wabak Chikungunya.

“Daerah Kampar mencatatkan bilangan kes Chikungunya tertinggi pada tahun 2020, iaitu sebanyak 157 kes.

“Diikuti daerah Larut Matang dan Selama (LMS) dengan 109 kes dan daerah Kinta dengan 99 kes,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, sehingga kini terdapat 15 lokaliti wabak Chikungunya yang masih aktif termasuk satu lokaliti Wabak Tidak Terkawal iaitu tempoh wabak berlarutan melebihi 14 hari di Daerah Kinta.

“Selain itu, terdapat 14 lokaliti Wabak Terkawal (tempoh wabak adalah 14 hari atau kurang) dengan 12 lokaliti di daerah Kinta, manakala dua lagi di daerah Kampar,” katanya.

Walau bagaimanapun kata beliau tiada kes kematian berkaitan wabak tersebut direkodkan di negeri ini.

Dalam pada itu Lay Ming berkata pembiakan Aedes yang menjadi vektor pembawa virus merupakan punca utama penularan Chikungunya.

Katanya hasil pemeriksaan Jabatan Kesihatan Negeri, sebanyak 4,969 bekas positif pembiakan nyamuk Aedes telah ditemui di seluruh negeri bagi tempoh Januari sehingga 23 Mei ini

“Antara tempat pembiakan nyamuk Aedes yang ditemui adalah di longgokan sampah haram, di lot kosong terbiar, rumah atau premis kosong tidak berpenghuni terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), longkang yang tidak diselenggara dengan baik, tapak bina, juga tong tadahan air yang tidak bertutup di dalam dan luar rumah.

“Sikap segelintir masyarakat yang tidak
bertanggungjawab membuang sampah di tempat awam, serta tidak endah dengan kebersihan sekeliling turut menjadi penyumbang utama kepada pembiakan nyamuk Aedes dan seterusnya peningkatan kejadian kes Chikungunya,” jelasnya.

Justeru kata beliau Jabatan Kesihatan Negeri Perak bersama-sama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) melaksanakan pelbagai usaha bagi membendung Chikungunya.

“Tindakan penguatkuasaan dilaksanakan yang mana 749 kompaun dan 116 notis pembersihan mengikut Seksyen 8 (1) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dikeluarkan terhadap pemilik premis yang membiak Aedes,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");