Perak Hari Ini

Kes Denggi Di Ipoh Meningkat

IPOH: Kes demam denggi di sekitar Bandaraya Ipoh merekodkan peningkatan sebanyak 381 kes bermula awal tahun ini sehingga 9 Mei lalu iaitu sebanyak 606 kes.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata ia menunjukkan peningkatan sebanyak 169.3 peratus kes berbanding iaitu 225 kes tahun lalu, dalam tempoh sama.

Namun katanya setakat ini tiada sebarang kes kematian dilaporkan.

Jelasnya sehingga 12 Mei lalu, terdapat 23 lokaliti wabak denggi dikesan iaitu empat lokaliti titik panas atau hot spot, dua lokaliti wabak tidak terkawal dan 17 lokaliti wabak di sekitar bandar raya.

“Empat lokaliti hot spot terdiri daripada Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan yang mencatatkan 33 kes, Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Chemor (30 kes), serta Taman Klebang Jaya dan Pekan Razaki masing-masing mencatatkan 16 dan sembilan kes.

“Selain itu, dua lokaliti wabak tidak terkawal direkodkan di Kampung Tengku Hussein Tambahan dengan enam kes dan Jalan Chung Ah Meng dekat Pasir Putih, di sini lapan kes,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat Penuh Majlis MBI di Bangunan MBI, di sini, hari ini.

Dalam pada itu katanya faktor cuaca seperti kekerapan hujan dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merupakan antara punca peningkatan kes denggi tersebut.

“Namun aktiviti semburan kabus, larviciding, aktiviti cari dan musnah serta dan siasatan kes masih diteruskan.

“Aktiviti pembersihan lot semak samun persendirian juga telah mula dijalankan mulai 4 Mei semenjak Perintah Kawalan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan,” ujarnya.

Tambah beliau, walaupun Perlaksanaan Pelan Tindakan Pencegahan dan Kawalan Wabak Denggi telah terganggu akibat PKP namun aktiviti pembersihan minimum telah mula dijalankan sejak 1 April lalu secara berperingkat.

“Kerjasama dengan Pejabat Kesihatan Daerah Kinta dan Jabatan Kesihatan Negeri terus dilaksanakan bagi mencegah dan mengawal peningkatan kes demam denggi dalam kawasan pentadbiran MBI.

“MBI mohon kerjasama semua warga bandaraya menjaga kebersihan persekitaran dalam dan luar premis kediaman, premis perniagaan atau kilang masing – masing supaya menghapuskan punca-punca tempat pembiakan jentik-jentik nyamuk aedes,” ujarnya.

Sebelum ini Pengarah Jabatan Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming melaporkan kes demam denggi di negeri ini merekodkan 1,351 kes.

Daerah Kinta mencatatkan bilangan kes tertinggi pada tahun ini dengan jumlah 776 kes iaitu peningkatan tertinggi 135 peratus berbanding tempoh sama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");