Berita Hari Ini

Keterlaluan Wajibkan Majikan Saring Semua Pekerja Asing, Kata MEF

PETALING JAYA: Kumpulan majikan mengkritik langkah mewajibkan majikan menanggung kos saringan Covid-19 ke atas pekerja asing masing-masing, mengatakan ia tidak kena pada masanya berikutan perniagaan bergelut untuk memulakan semula operasi selepas sekatan hampir 2 bulan.

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berkata majikan mungkin terpaksa berbelanja sehingga RM1 bilion jika mereka ikut arahan menguji semua pekerja asing oleh Putrajaya itu, bermula dengan pekerja di Selangor dan Kuala Lumpur.

Pengarah Eksekutif Shamsuddin Bardan juga menyifatkan langkah itu “keterlaluan” dan boleh membawa kepada kerumitan logistik kerana terdapat kira-kira 2.3 juta pekerja asing sah.

Shamsuddin berkata, ujian Covid-19 boleh menelan belanja sekitar RM500 seorang, jumlah yang menurutnya tidak mampu ditanggung ramai majikan buat masa ini.

“Ia tidak adil untuk majikan. Pengumuman itu betul-betul memudarkan semangat. Ia keterlaluan,” kata Shamsuddin kepada FMT.

“Ramai majikan beritahu saya jika begitu keadaannya, eloklah larang pekerja asing kembali bekerja. Malah mungkin akan ada majikan enggan uji pekerja asing mereka.”

MEF menaungi 5,000 anggota dan menghimpunkan kumpulan majikan mewakili semua sektor perdagangan dan industri.

Semalam, Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan semua pekerja asing diwajibkan menjalani saringan Covid-19 ekoran peningkatan kes positif melibatkan kalangan pekerja asing, susulan kes di satu tapak pembinaan di Ampang.

Shamsuddin berkata, ujian sedemikian akan mengambil masa setengah tahun untuk diselesaikan.

“Adakah kita tidak ada kerja lain hendak dibuat selain beratur untuk melakukan ujian swab? Ia akan melambatkan operasi. Di mana logik ekonomi dalam perkara ini?”

Beliau menambah kerajaan harus menanggung kos membabitkan dasarnya, termasuk mewajibkan saringan warga asing.

“Kerajaan sering menegaskan majikan perlu buat semuanya.”

Memetik FMT beliau berkata, kerajaan juga harus mengkaji sama ada saringan seperti itu diperlukan, menambah keputusan itu dilihat berdasarkan anggapan “semua pekerja asing memiliki virus dalam badan mereka”.

“Kerajaan tiada asas untuk capai kesimpulan itu.”

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");