Berita Hari Ini

Laporan perhambaan Tesco dedah operasi Malaysia aniaya pekerja asing

Rangkaian pasar raya yang berpangkalan di United Kingdom, Tesco melaporkan penemuan contoh penganiayaan terhadap pekerja asing dalam operasi Malaysianya.

Dalam laporan perhambaan moden tahun ini, Tesco berkata, pelbagai dakwaan didedahkan 168 pekerja asing di Malaysia yang ditemubual.

Ia termasuk penahanan pasport, pengurangan gaji secara tidak sah dan tidak dapat dijelaskan, berhutang dengan banyak kepada broker buruh di negara asal serta kerja lebih masa keterlaluan.

Pasport 68 pekerja Indonesia dan 171 pekerja Nepal didapati ditahan.

FMT cuba mendapatkan respons Tesco Malaysia.

Menurut laporan tahunan itu, semua pasport berkenaan sudah dipulangkan kepada pekerja terbabit, manakala dasar serta prosedur baru diperkenalkan apabila pasport diperlukan untuk memperbaharui permit kerja atau prosedur kerajaan lain.

Tesco berkata, ia akan menyiasat secara mendalam dakwaan khusus, mewujudkan talian sokongan dalam bahasa ibunda untuk pekerja agensi serta garis panduan bagi memastikan pekerja mempunyai akses kepada pasport mereka apabila diperlukan.

Syarikat itu turut berjanji akan mengkaji semula dan menambah baik penginapan serta audit kebajikan pekerja, menyediakan pemulihan penuh, termasuk pembayaran balik fi perekrutan dan beralih kepada pengambilan secara terus pekerja asing.

Tesco Malaysia, yang ditubuhkan pada 2002, ialah usaha sama antara konglomerat Malaysia, Sime Darby Berhad, yang memiliki 30% saham.

Bulan lalu, Sime Darby menjual RM300 juta kepentingannya, sebagai sebahagian perjanjian di mana operasi Tesco Malaysia dan Thailand dijual kepada CP Retail Development Company Ltd di Thailand pada nilai perusahaan yang dilaporkan berjumlah AS$10 bilion.

Tesco Malaysia kini mempunyai lebih 7,000 kakitangan di 60 cawangan dan 2 pusat pengedaran di Semenanjung Malaysia.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");