Berita Hari Ini

Lebih 96 Peratus Responden Akui Peroleh Faedah PRIHATIN

PUTRAJAYA: Lebih 96 peratus daripada 41,386 responden Survei Khas Kesan COVID-19 kepada Ekonomi dan Individu (Pusingan 2) yang dilaksanakan bulan lalu oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, mengakui memperoleh faedah daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

Sebanyak 68.2 peratus daripada jumlah itu mengakui terima tiga bentuk bantuan, 13.9 peratus menerima dua bantuan dan 17.9 peratus menerima satu bantuan daripada Pakej PRIHATIN yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 27 Mac lalu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, dalam kenyataan media berkata Survei Khas Kesan COVID-19 Kepada Ekonomi dan Individu (Pusingan 2) itu dilaksanakan secara dalam talian pada 10 hingga 24 April lalu, membabitkan 41,386 responden di seluruh Malaysia, berusia 15 tahun ke atas.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. - NSTP/ Muhd Asyraf Sawal
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. – NSTP/ Muhd Asyraf Sawal

Beliau berkata, sejumlah 70.1 peratus responden berpendapat pakej rangsangan PRIHATIN itu berkesan kerana dapat mengurangkan beban kewangan manakala 9.1 peratus responden berpendapat ia berkesan sepenuhnya kerana dapat menghilangkan beban kewangan yang dihadapi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, dalam menghadapi situasi pandemik COVID-19, sejumlah 90.9 peratus responden menyatakan keutamaan diberikan kepada kesihatan dan nyawa, diikuti dengan pendapatan (4.6 peratus) dan kehidupan kembali seperti normal (4.5 peratus).

“Analisis yang dibentangkan dalam laporan survei khas ini meliputi pandangan individu secara kualitatif mengenai ekonomi, pekerjaan, corak kehidupan dan pendidikan,” katanya.

Mohd Uzir berkata, kajian itu juga mendapati, sejumlah 96.1 peratus responden berpuas hati dengan petugas kesihatan barisan hadapan dan fasiliti kesihatan yang disediakan kerajaan dalam menangani COVID-19.

Katanya, kajian itu juga mendapati, secara keseluruhan, wabak COVID-19 mempengaruhi gaya hidup sebanyak 96.3 peratus responden dan 92.9 peratus responden bersedia mengadaptasi cara hidup baharu selepas tamat PKP.

Beliau berkata, dari aspek pendidikan pula, 54.5 peratus menyatakan tahap capaian internet bagi pembelajaran dalam talian adalah sederhana.

Katanya, susulan daripada kesan COVID-19 ini, kebanyakan institusi pendidikan mengadakan sesi pembelajaran secara dalam talian dan kajian mendapati secara purata 67.5 peratus responden atau anak mereka melaksanakan sesi pembelajaran dalam talian dalam tempoh satu sehingga lima jam sehari sepanjang PKP.

Mohd Uzir berkata, sebanyak 46.3 peratus responden menyatakan waktu capaian pembelajaran dalam talian adalah lebih pantas pada siang hari iaitu antara jam 7 pagi hingga 12 tengah hari.

“Dapatan daripada survei ini diharap dapat membantu kerajaan dan penduduk Malaysia dalam menangani kesan COVID-19 terhadap ekonomi dan kehidupan. Analisis yang dikongsikan adalah berdasarkan kepada responden yang menyertai survei khas ini dan tidak mewakili pandangan seluruh rakyat Malaysia.

“Ia harus ditafsir secara berhati-hati bagi menilai kesan COVID-19 di Malaysia dan ia bukanlah statistik rasmi, namun, ia boleh digunakan untuk menyokong dalam memberi gambaran mengenai situasi semasa.

“PKP dan penularan pandemik COVID-19 memberi kesan perubahan sistem atau cara bekerja bagi kebanyakan individu dan syarikat sama ada di sektor kerajaan mahupun swasta,” katanya.

Beliau berkata, dengan kelonggaran PKP yang diberikan, majoriti masyarakat tidak lagi menjalankan tugas mereka seperti kelaziman sebelum ini dan mereka perlu menyesuaikan diri dengan budaya norma baharu dalam kehidupan termasuk pekerjaan dan aktiviti seharian.

Pada masa sama, beliau berkata, laporan penuh survei khas itu, boleh diakses melalui portal DOSM iaitu www.dosm.gov.my dan media sosial rasmi Facebook, Twitter, Instagram @StatsMalaysia memetik Berita Harian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");