Berita Hari Ini
Like

Lelaki Didakwa Positif COVID-19 Yang Tular Sebenarnya Sakit Jantung – Polis

May 27, 2020
290 Views
0 Comments
1 minute read
Lelaki Didakwa Positif COVID-19 Yang Tular Sebenarnya Sakit Jantung – Polis

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki terbaring di hadapan sebuah kedai di Enterprenuer Park di sini, yang videonya tular di media sosial Ahad lepas, bukanlah positif jangkitan COVID-19 seperti didakwa tetapi mengalami serangan jantung.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Zairulnizam Mohd [email protected] yang mengesahkan perkara berkenaan berkata kejadian itu berlaku pada 7.55 malam.

Beliau berkata mangsa berumur 33 tahun itu disyaki mengalami serangan jantung, terjatuh di hadapan sebuah kedai dan tidak sedarkan diri, lalu dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami pendarahan di bahagian otak dan masih dalam keadaan koma manakala ujian saringan COVID-19 yang dijalankan oleh PPUM mengesahkan mangsa adalah negatif,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Ahad lepas, satu video berdurasi 52 saat tular di media sosial memperlihatkan rakaman orang awam mengenai seorang lelaki didakwa positif COVID-19 terbaring di hadapan sebuah kedai, dan beberapa petugas kesihatan PPUM lengkap berpakaian sut peralatan perlindungan diri (PPE).

Sementara itu, Zairulnizam menggesa orang ramai terutama penduduk di kawasan Kuchai Lama di sini, menyemak setiap maklumat diterima dan lebih bertanggungjawab dalam menyebarkan sebarang maklumat serta memastikan ia dari sumber sepatutnya.

“Orang ramai dinasihatkan terus mematuhi segala peraturan ditetapkan di bawah PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) yang masih berkuatkuasa sehingga 9 Jun ini, selain menghubungi pusat pengurusan operasi negara di talian hotline 03-88882010 atau talian hotline polis Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di talian 03-2297 9222 jika terdapat sebarang kemusykilan,” katanya.

Komen & Pendapat

Comments are closed.