Berita Hari Ini
Like

Lelaki dikompaun kerana benarkan tetamu ziarah raya

May 25, 2020
537 Views
0 Comments
3 minutes read
Lelaki dikompaun kerana benarkan tetamu ziarah raya

‘Kesian tetamu dah sampai di depan rumah, takkanlah tak bagi mereka masuk’.

Itu antara alasan diberikan seorang tuan rumah ketika polis membuat pemeriksaan mengejut ke kediamannya di Taman Selayang Mutiara, Batu Caves, di sini, petang tadi.

Dalam pemeriksaan oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menerusi Op Covid-19 kira-kira jam 5 petang itu, kelihatan belasan tetamu berada dalam kediaman berkenaan dipercayai untuk ziarah hari raya.

Seorang tetamu mendakwa mendapat jemputan daripada rakannya yang juga anak kepada tuan rumah terbabit untuk datang berhari raya di kediaman berkenaan, hari ini.

Ditanya sama ada mengetahui arahan pihak berkuasa bahawa aktiviti ziarah hanya dibenarkan pada hari raya pertama, beliau yang berusia 19 tahun dan enggan dikenali mengakui tahu mengenai arahan itu.

“Mereka jemput untuk datang hari ini, saya datanglah untuk beraya tetapi tak sangka pihak polis akan datang buat pemeriksaan di sini hari ini,” katanya yang turut mendakwa dia baru beberapa minit sampai di rumah itu sebelum kehadiran pihak polis.

Seorang lagi tetamu yang enggan dikenali mendakwa tuan rumah menjemputnya datang ke rumah terbuka yang diadakan oleh tuan rumah terbabit dan turut terkejut apabila kediaman itu turut menerima ‘kunjungan’ pihak polis.

Dalam pemeriksaan yang dijalankan, terdapat kira-kira 18 individu termasuk ahli keluarga kepada tuan rumah terbabit berada di dalam kediaman berkenaan dan beberapa lagi tetamu dipercayai berjaya meloloskan diri melalui pintu belakang.

Susulan itu, tuan rumah terbabit yang juga seorang lelaki berusia 50-an dibawa ke IPD Gombak untuk diambil keterangan dan dikenakan tindakan kompaun RM1,000.

Tuan rumah dibawa ke IPD Gombak untuk diambil keterangan. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Tuan rumah dibawa ke IPD Gombak untuk diambil keterangan. – NSTP/Saifullizan Tamadi

Tindakan membenarkan tetamu pada hari ini jelas melanggar arahan kerajaan yang hanya membenarkan aktiviti ziarah sempena sambutan Aidilfitri hanya pada hari raya pertama selain melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pemeriksaan turut disertai pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menerusi Op COVID-19.

Sementara itu, Ketua JSJ Selangor, Datuk Fadzil Ahmat pada sidang medianya sebelum operasi tadi, memaklumkan pihaknya kini mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi mengesan mereka yang ingkar PKPB dengan memfokuskan 15 kesalahan.

“Ini termasuk kesalahan merentas negeri, aktiviti berarak, antaranya kunjung mengunjung rumah ke rumah sempena Aidilfitri dan membawa tidak lebih tiga penumpang dalam kenderaan persendirian.

“Semalam dikesan banyak cubaan merentas negeri terutama yang menggunakan lorong tikus, kita tahu semua itu dan pada hari ini, hari kedua masih terdapat keadaan yang sebegini, maka tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Katanya, semalam pihaknya menumpukan kepada pemantauan dan pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) dan pada hari ini, tumpuan diberikan di kawasan kediaman bagi mengesan mereka yang melanggar PKPB.

“Sebanyak 18 kompaun dikenakan kepada mereka yang cuba merentas negeri dan satu kompaun untuk kesalahan lain semalam,” katanya.

Komen & Pendapat

Comments are closed.