Berita Hari Ini

M. Saravanan Gesa Majikan, Pekerja Budayakan Normal Baru

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KSM) menggesa semua majikan dan warga pekerja untuk membudayakan normal baru sebagai amalan harian, ketika berada di premis perniagaan atau tempat kerja.

Bernama melaporkan, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan dalam kenyataan malam tadi berkata, ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang mula dilaksanakan esok.

Katanya, amalan tersebut perlu mematuhi segala langkah kawalan dan pencegahan daripada jangkitan penyakit berjangkit.

“Antara amalan normal baru tersebut menuntut pembudayaan amalan baik, seperti melakukan saringan dan merekod suhu badan pekerja setiap kali semasa tiba dan pulang dari bekerja, dan mengamalkan jarakan sosial.

“Penyediaan cecair pembasmi kuman dan sarung tangan; pemakaian penutup hidung dan mulut semasa di tempat kerja serta menjaga kebersihan diri, termasuk penyediaan garis panduan kawalan kesihatan dan keselamatan di tempat kerja,” katanya.

Beliau turut berkata, KSM terus mempergiatkan intervensi penguatkuasaan dan pemeriksaan ke premis-premis pekerjaan, bagi memastikan semua majikan menghormati serta mematuhi syarat-syarat prosedur operasi standard.

“Para pegawai Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung Malaysia (termasuk Sabah dan Sarawak) serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), diberikan kuasa dan tanggungjawab ini sebagaimana yang termaktub di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan tidak akan berkompromi dengan syarikat atau majikan yang mengambil sikap sambil lewa dan gagal melaksanakan langkah-langkah kawalan, dan pencegahan di bawah akta berkenaan.

“Perjuangan kita menentang pandemik COVID-19 yang tidak kelihatan ini, masih belum berakhir.

“Oleh itu, setiap pihak termasuk majikan dan pekerja, terus dituntut agar memberikan kerjasama penuh serta komitmen yang tinggi, dalam mematuhi semua syarat yang ditetapkan dengan mengamalkan budaya normal baru, demi kesejahteraan rakyat dan negara,” tambahnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");