Perak Hari Ini

MBI Rancang Jadikan Ipoh Sebagai Bandar Pintar, Rendah Karbon

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedang merangka perancangan bagi menjadikan Bandaraya Ipoh sebagai Bandar Pintar atau ‘Smart City’ menjelang tahun 2030.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata pihak Jabatan Perancangan Bandar sedang bekerjasama dengan Unit Smart City, PlanMalaysia dan Universiti Malaya dalam usaha tersebut

Menurutnya, kerja-kerja pengemaskinian peringkat akhir rangka tindakan inisiatif itu dijangka dapat disiapkan pada Ogos tahun ini.

“Bagi mencapai hasrat tersebut, satu lagi sesi “final brainstorming” akan diadakan pada bulan Jun ini.

“Ia akan melibatkan agensi teknikal yang berkepentingan bagi mengenal pasti sasaran utama dalam penyediaan dan pelaksanaan domain utama smart city ini selaras dengan Malaysia Smart City Framework,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat Penuh Majlis MBI di Bangunan MBI, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, menurutnya ketiadaan Pelan Rangka Tindakan Bandar Rendah Karbon telah melambatkan usaha MBI bagi mencapai pengiktirafan Bandaraya Rendah Karbon sebelum ini.

Justeru katanya Malaysian Green Technology and Climate Change Centre akan bekerjasama dengan MBI bagi mewujudkan zon rendah karbon dalam Kawasan Bandaraya Ipoh.

“MBI juga akan mengadakan kerjasama ilmiah bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi penyediaan Pelan Rangka Tindakan Ipoh Bandar Rendah Karbon 2030. Sasaran laporan ini siap adalah pada bulan Ogos 2020,” katanya.

Selain itu Rumaizi turut mencadangkan agar program ‘urban farming’ dapat dilaksanakan yang bertujuan memajukan tanah-tanah di banda raya ini yang berpotensi untuk dibangunkan.

“Saya mencadangkan program ini diadakan secara kolaborasi bersama-sama dengan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) serta agensi-agensi lain yang berkaitan,” ujarnya.

Pada perkembangan sama, Rumaizi berkata MBI juga kini sedang merancang menjadikan Bandaraya Ipoh sebagai Lembah Makanan atau ‘Food Valley’, serta sebagai sebuah Kota Seni pada masa akan datang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");