Panasnya Hari Ini

Muhyiddin Dakwa Jika Bersatu Tak Keluar PH, DAP Akan Hancurkan Melayu – Tun Mahathir

PUTRAJAYA: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan beliau tidak boleh menerima alasan yang diberikan Tan Sri Muhyiddin Yassin agar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar dari Pakatan Harapan pada Februari lepas.

Astro Awani melaporkan, Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa, Muhyiddin yang kini merupakan perdana menteri, telah menggunakan alasan orang Melayu akan dihancurkan DAP sekiranya Bersatu terus kekal bersama Pakatan Harapan.

Dr Mahathir berkata beliau tidak begitu yakin dengan alasan itu dan meminta agar Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu termasuk Muhyiddin selaku Presiden parti untuk terus bersabar dan tunggu sekiranya ada faktor lain yang lebih meyakinkan.

“Saya beritahu Muhyiddin kerana saya disokong penuh apa sebabnya yang saya nak keluar dari PH.

“Kalau ada sebab sebab lain, tunggulah; kalau ada sebab lain, saya akan keluar dari PH. Tetapi, dia (Muhyiddin) berpendapat kita perlu keluar dari PH hari ini juga.

“Katanya kalau tak keluar maka orang Melayu akan dihancurkan DAP. Saya tidak yakin bahawa DAP dengan begitu mudah boleh hancurkan orang Melayu. Sebab itu saya berkata, tunggulah.

“Kita ambil masa sedikit, fikir mendalam dengan tindakan keluar daripada PH,” kata Dr Mahathir dalam satu rakaman video di Facebook rasmi beliau, hari ini.

Dr Mahathir, pada 24 Februari lepas, mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan selaku perdana menteri ketujuh dan Pengerusi Bersatu selepas mendakwa beliau tidak mendapat sokongan daripada parti sendiri.

Selain itu, beliau berkata, tindakan Muhyiddin selaku Presiden Bersatu membawa keluar parti itu daripada PH tanpa menerima mandat penuh MPT, menyaksikan keruntuhan kerajaan yang hanya bertahan selama 22 bulan.

Pada 9 Mei lepas, Ketua Penerangan Bersatu Dr Mohd Radzi Md Jidin menangkis dakwaan Datuk Marzuki Yahya yang mendakwa MPT parti itu tidak membuat keputusan meninggalkan gabungan PH.

Sambil menyatakan Marzuki bukan lagi Setiausaha Agung Bersatu, Mohd Radzi sebaliknya menjelaskan bahawa MPT Bersatu dalam mesyuaratnya pada 23 Feb telah membuat keputusan yang jelas untuk keluar PH dan membentuk sebuah gabungan politik baharu dengan parti-parti lain di luar PH.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, beliau ketika mesyuarat MPT 23 Feb itu bertegas tidak akan bekerjasama dengan parti UMNO dan Barisan Nasional yang PH kalahkan pada pilihan raya umum 2018, atas alasan parti itu masih penuh dengan ahli politik yang korup dan mengamalkan rasuah.

“Kita tolak (cadangan) parti kita, masuk dengan parti yang kalah ini (BN + UMNO), parti yang (pernah) dipengerusikan Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) akan jadi kerajaan. (Tetapi) mereka (MPT) tak peduli pendapat saya dan keluar PH.

“Saya fikir dengan mendalam, kalau parti dah tolak saya, saya perlu lepaskan jawatan saya. Itulah sebabnya yang saya lepaskan jawatan sebagai pengerusi PH, dan kemudian sebagai perdana menteri,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");