Berita Hari Ini

Mukhriz: K’jaan Kedah bohong tuntutan pampasan balak RM1 bilion

Bekas menteri besar Kedah Mukhriz Mahathir mendakwa kerajaan Kedah pimpinan PAS cuba mewajarkan semula konsesi pembalakan dengan mengatakan kerajaan negeri berdepan RM1 bilion tuntutan pampasan daripada syarikat pembalakan yang konsesi mereka dibatalkan dan digantung oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Mukhriz berkata ketika pentadbiran beliau, syarikat-syarikat yang telah diberi konsesi pembalakan berhampiran takungan air di Hutan Simpan Ulu Muda bersetuju untuk mengenal pasti kompartmen lain di luar kawasan berkenaan.

Beliau berkata, bagi syarikat yang telah diluluskan kawasan pembalakan tetapi belum membayar premium sepenuhnya diberikan tempoh tertentu untuk menjelaskan bayaran tertunggak atau kelulusan akan dibatalkan.

“Saya ingin menyatakan dengan jelas bahawa tidak ada mana-mana pihak, baik secara berasingan mahupun secara bersama, yang telah menuntut pampasan dari kerajaan Kedah sehingga mencecah RM1.0 bilion.

“Ini satu pembohongan yang mungkin bertujuan untuk menghalalkan keputusan untuk meluluskan konsesi,” katanya dalam satu kenyataan.

Penggantungan konsesi pembalakan tersebut dibuat pada bulan Mac 2019.

Menurut Mukhriz, konsesi pembalakan berkenaan diberikan sejak PAS berkuasa di Kedah antara tahun 2008 sehingga 2013.

Beliau berkata semua isu berkaitan dengan Hutan Simpan Ulu Muda dan Bukit Saiong telah diselesaikan apabila PH mengambil alih dan kerajaan Kedah pimpinan PAS hanya perlu melaksanakan keputusan yang dibuat sebelum ini.

Mukhriz berkata kerajaan negeri membuat keputusan berkenaan dengan mengambil kira kepentingan rakyat, kebimbangan NGO alam sekitar dan syarikat pembalakan.

Katanya, keputusan itu diterima baik oleh semua syarikat konsesi apabila mereka memahami bahawa semua pihak perlu berkompromi bagi merealisasikan kepentingan bersama.

“?Saya berterima kasih kepada syarikat-syarikat yang telah dianugerahkan konsesi di Hutan Simpan Ulu Muda kerana sejak saya mengumumkan pemberhentian aktiviti pembalakan itu, tiada syarikat yang mengugut untuk mengheret Kerajaan ke mahkamah.

“Kerajaan saya ketika itu sering berbincang dengan Persatuan Syarikat-syarikat Pembalakan Kedah untuk mendengar pandangan.

“Hasil daripada sesi-sesi engagement itu, hanya beberapa tuntutan bertulis telah diterima. Semua pihak memberi kerjasama yang baik bagi mencapai kata sepakat sambil memahami pendirian kerajaan negeri perihal kelestarian hutan Kedah, “kata beliau.

Awal hari ini, Menteri Besar Kedah yang baru, Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa kerajaan Kedah berhadapan tuntutan pampasan berjumlah RM1.5 bilion daripada syarikat pembalakan.

Sanusi berkata tuntutan tersebut dibuat 40 syarikat melibatkan 131 konsesi di kawasan seluas 22,098 hektar di Hutan Simpan Ulu Muda.

“Cadangan yang kita buat untuk hadapi situasi ini (tuntutan ganti rugi) ialah mempertimbang untuk ganti kawasan (pembalakan) lain di luar kawasan tadahan. Kawasan ganti itu mestilah tidak beri kesan kepada alam sekitar seperti hakisan dan penggondolan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");