Panasnya Hari Ini

Mukhriz Lepas Jawatan MB Kedah

ALOR SETAR: Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengumumkan melepaskan jawatan Menteri Besar Kedah berkuat kuasa serta-merta.

Menurut Bernama, ini berikutan beliau kehilangan majoriti sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kedah.

“Saya telah sembah maklum kepada Sultan Kedah bahawa saya telah kehilangan kepercayaan majoriti Adun,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, dengan peletakan jawatan itu, semua jawatan Exco negeri juga tergugur.

Sementara itu, menurutnya, beliau akan bersama-sama 12 Adun Pakatan Harapan yang lain, termasuk satu dari Bersatu, untuk berada di blok pembangkang sehingga DUN Kedah dibubarkan kelak.

Bagaimanapun, menurutnya, kedudukan Ketua Pembangkang di DUN Kedah masih belum diputuskan.

Selain meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah, Mukhriz turut melepaskan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang telah disandangnya sejak 2018.

Selasa lalu, Perikatan Nasional (PN) Kedah mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan 23 Adun, termasuk daripada Bersatu.

Berikutan itu, komposisi Dun Kedah menyaksikan perubahan apabila Pas kini menguasai 15 kerusi, manakala PKR (lima), Amanah (empat), Bersatu-Tan Sri Muhyiddin Yassin (empat), Bersatu-Tun Dr Mahathir Mohamad (dua), Umno (dua) dan Bebas (dua).

Adun Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor dijadual mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Kedah Ke-14 pada 2 petang ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");