Berita Hari Ini

Negara Dalam Krisis Pun Mahu Rebut Kuasa

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan pihak tertentu yang masih mahu merebut kuasa semasa Malaysia sedang berdepan dengan krisis paling teruk dalam tempoh 100 tahun.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, ramai rakyat negara ini yang hilang pekerjaan akibat satu per satu industri utama lumpuh.

Malah, ada rakyat yang sakit dan bertarung dengan nyawa akibat wabak Covid-19.

”Namun, ada pihak yang masih menjadikan rebutan kuasa sebagai keutamaan mereka.

”Mahu heret seluruh negara dalam permainan mereka pada masa Covid ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Menurut beliau, walaupun tingkah-laku pihak terbabit sudah ditegur oleh Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Parlimen namun pesanan itu tidak dihiraukan.

Sebaliknya, pihak tertentu bertindak mengadakan sidang media dengan Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu sebaik sahaja Yang di-Pertuan Agong memberi amaran.

”Siap gunakan nama saya kenapa dia mahu buat usul tidak percaya. ‘Fitnah-fitnah terhadap saya pun tak pernah berhenti,” ujar Najib lagi.

Sedangkan, Ahli Parlimen Pekan itu memaklumkan Tun Dr Mahathir yang melepaskan jawatan tetapi kini beliau mahu merebut semula jawatan ketika negara masih dalam ancaman wabak Covid-19.

Najib mengingatkan Dr Mahathir yang gagal mengawal Covid-19, malah melawan amaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Dr Mahathir juga didakwa gagal mengharamkan perhimpunan besar; gagal menghalang kemasukan pelancong asing; gagal meningkatkan ujian saringan Covid-19.

Akibatnya daripada kegagalan-kegagalan itu, rakyat terpaksa berkurung selama dua bulan sehingga hilang pekerjaan.

Namun, selepas wabak semakin reda sedikit atas pengorbanan satu Malaysia, pihak terbabit kembali untuk berebut kuasa.

”Kalau dah dua kali jadi PM, kalau dah begitu gagal dalam masa 22 bulan yang lalu, kenapa masih mahu ganggu dan ancam kestabilan kerajaan dengan permainan politik pada masa kita perlu lawan impak ekonomi sedunia akibat krisis Covid?” soal Najib yang mendakwa mempunyai banyak ‘cerita-cerita’ jika mahu dibongkarkan.

Ia termasuk kisah syarikat kapal terbang, cerita KLCC, Hospital dan konsesi kerajaan, seseorang menghancurkan seluruh industri utama negara, orang hadiahkan berpuluh buah kereta kepada mereka, pemilik syarikat kapal terbang, cerita asal-usul PLUS, kisah curi saham-saham bumiputera, arahan runding terus untuk jayakan Tawaran Awam Permulaan sesebuah syarikat, cerita 480 syarikat milik keluarga dan lain-lain lagi.

Malah, cerita kucing bernilai ratusan ribu ringgit pun ada, katanya, walaupun mengakui tidak gemar bercerita hal orang lain terutama pemimpin negara yang pernah ada jasa kepada negara.

Lagipun, katanya, rakyat perlu menumpukan seluruh tenaga untuk menghadapi krisis pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");