Panasnya Hari Ini
Like

Nik Abduh: Usah obses dengan usaha tukar kerajaan

May 31, 2020
329 Views
0 Comments
2 minutes read
Nik Abduh: Usah obses dengan usaha tukar kerajaan

Semua pihak terutamanya ahli politik diminta tidak obses terhadap usaha untuk menukar kerajaan, kata anggota parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Hal itu kerana, katanya, apa yang membimbangkan situasi semasa turut menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

“Politik ni panjang, ada masanya kita boleh redakan dan sampai masanya kita bolehlah panaskan balik.

“Jadi pada pandangan saya, tindakan Tun Dr Mahathir (Mohamad) ini sebagai mana saya sebut sebelum ini, sebelum dan selepas pilihan raya, saya masih lagi melihat bahawa kesilapan besar yang berlaku dalam politik negara kita ialah ahli politik terlalu mengharapkan beliau supaya memimpin kembali negara.

“Saya yakin bahawa sebagai orang yang telah berpengalaman, peranan Dr Mahathir adalah menasihat. Itu orang tua, orang lama dia bukan ditugaskan untuk memimpin. Orang tua tugasnya menjadi penasihat,” katanya seperti dilaporkan portalĀ Awani.

Kenyataan itu dibuat ketika ada cakap-cakap mendakwa Pakatan Harapan (PH) kini sedang berada di peringkat akhir untuk kembali menjadi kerajaan selepas mereka diruntuhkan melalui ‘Langkah Sheraton’ baru-baru ini.

Beberapa pihak mendakwa PH sudah memiliki sokongan anggota parlimen yang diperlulkan bagi mendapatkan majoriti di Dewan Rakyat.

Untuk rekod Langkah Sheraton menyaksikan Muhyiddin Yassin membawa Bersatu keluar daripada PH untuk bekerjasama dengan Umno dan PAS serta MIC dan MCA.

Kerjasama itu kemudian melahirkan Perikatan Nasional (PN). Namun pengkritik melabel PN sebagai kerajaan pintu belakang kerana penubuhannya menafikan mandat yang diberikan rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) 2018.

Nik Abduh yang juga anggota Jawatankuasa Pusat PAS berkata, Mahathir perlu mengurangkan drama politik ketika rakyat dan negara berdepan pandemik Covid-19.

Jelas pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) itu lagi, bagi menghentikan drama itu Mahathir disaran berehat daripada politik dan tidak mendengar hasutan orang sekeliling yang hanya boleh merosakkan imej beliau.

Untuk rekod, sebelum PRU ke-14 lalu Presiden PAS Abdul Hadi Awang terlebih dulu menyarankan agar Mahathir berehat daripada politik dengan menyandarkan hujahnya kepada usia ahli parlimen Langkawi berkenaan.

Abdul Hadi juga berpendapat Mahathir lebih sesuai menjaga Klinik 1Malaysia berbanding menyertai PRU. Bagaimanapun selepas menjadi perdana menteri, PAS pernah berura-ura membawa usul percaya kepada Mahathir sebagai perdana menteri.

Komen & Pendapat

Comments are closed.