Berita Hari Ini

Noor Hisham: Petugas kesihatan akan diberi peluang rehat bergilir-gilir

Petugas kesihatan di barisan depan yang bertungkus lumus selama lima bulan dalam pertempuran melawan Covid-19 akan diberi peluang berehat secara bergilir-gilir, memandangkan kes semakin menurun.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, Kementerian Kesihatan (KKM) juga akan memberikan khidmay kaunseling kepada petugas barisan depan untuk mempersiapkan mereka sekiranya jumlah kes meningkat lagi.

“Petugas barisan depan KKM kerja siang malam tanpa henti selama lima bulan, tak kenal hari minggu atau hari kerja.

“Tapi hari ni kita nampak hasil pengorbanan kita. Kes berkurangan,

wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan wad pesakit Covid-19 berkurangan.

“Mungkin sekarang ini kita akan gunakan untuk beri masa berehat kepada warga kerja KKM, mungkin secara gilir-gilir.

“Akan beri kaunseling juga pada mereka untuk pertahankan diri menghadapi kalau ada peningkatan kes dan sebagainya,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Noor Hisham menjawab pertanyaan mengenai pendekatan KKM untuk memastikan kesihatan mental petugas barisan hadapan, yang mungkin mengalami keletihan setelah terpaksa bekerja berjam-jam dan tanpa cuti sejak awal tahun ini.

Noor Hisham berkata bahawa kementerian juga merancang untuk menyusun semula pendekatan Covid-19 dalam beberapa minggu ke depan.

Semasa sidang media tersebut, Noor Hisham juga mengucapkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang terdiri daripada pelbagai agensi.

“Ini adalah cabaran bagi kita semua, barisan depan dan semua tenaga kerja KKM. Tetapi yang pasti ialah kita adalah barisan pertahanan terakhir untuk mencegah malapetaka terjadi di negara kita.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan penghargaan kepada semua barisan depan lain, termasuk polis, Angkatan Tentera Malaysia, NGO dan semua orang yang telah bekerja keras untuk mencapai apa yang kita miliki hari ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");